Tuesday 25 October 2011

Audit: Bukti Umno BN gagal urus wang negara


Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong penuh kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu kelemahan pengurusan kewangan kerajaan adalah disebabkan oleh kerakusan Umno BN memerintah negara dengan secara boros, tidak berhemah dan berlaku penyelewengan kuasa yang serius sehingga menyebabkan kehilangan wang kerajaan.
“Kelemahan ini telah ditegur oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang di dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2010,” kata pengarahnya, Mohd Sany Hamzan.
Katanya, Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat kerajaan selama ini sememangnya tidak pernah mengambil peduli terhadap perjalanan sistem pengurusan kewangan yang berhemah dan telus.
Ini, katanya kerana budaya kerja Umno BN telah membarah dengan budaya rasuah, kronisme dan nepotisme walaupun telah ditegur oleh Ketua Audit Negara tahun-tahun sebelum ini.
Selain itu, ujarnya disebabkan kelemahan pengurusan kewangan Kerajaan Pusat juga memberi kesan terhadap syarikat-syarikat yang dikawal oleh Kementerian Kewangan yang mana 19 daripada 47 syarikat mengalami kerugian pada tahun 2009.
Jumlah kerugian bernilai RM0.71 billion iaitu penurunan RM3.83 billion berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM96.18 billion pada tahun 2008.
Terbaru, sebuah badan pemikir bebas Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA) melahirkan kebimbangan negara akan mempunyai hutang sebanyak RM1 trillion menjelang 2020 sekiranya kerajaan tidak berhemah dalam perbelanjaannya.
Ini adalah kerana defisit negara kini berada pada RM437 billion, dua kali ganda bajet defisit berbanding RM217 billion pada tahun 2004.
Antara tahun 2007 dan 2011, defisit berkembang secara purata pada kadar kira-kira RM34 bilion setiap tahun.
Tetapi dengan andaian, defisit akan meningkatkan hutang tambahan sebanyak RM50 bilion setahun, Malaysia boleh menjangkakan jumlah hutang negara naik dua kali ganda lagi pada tahun 2020 menjadi RM1 trilion.
Justeru, kata Sany, pihaknya meminta supaya pihak kerajaan menghentikan amalan pengurusan yang tidak berhemah dan boros dalam berbelanja.
Ini kerana, ujarnya akan menyebabkan negara menanggung hutang yang banyak dan tidak mempunyai keupayaan untuk membayar balik hutang tersebut melainkan dengan membebankan rakyat dengan pelbagai cukai yang tidak munasabah.
Oleh itu, tambah beliau Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan rakyat Malaysia keseluruhannya supaya menolak Umno BN di dalam pilihan raya umum yang akan datang kerana Umno BN terbukti gagal di dalam mengurus kewangan negara, mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan dana kerajaan untuk kepentingan peribadi dan kroni.
“Tolak BN untuk selamatkan Malaysia,” serunya.

No comments:

Post a Comment