Tuesday 25 October 2011

Isu murtad, ke mana arah sasarannya?



















Satu himpunan besar dikerah
 bagi menangani gejala murtad
yang berlaku dalam masyarakat
 Islam di Malaysia.

Kepada siapa ditujukan
 sekiranya
 ia adalah bantahan? Apakah pendekatan dan
 uslub yang
 akan diambil?


Dua perkara ini
perlu dilihat dan difahami sedalam-dalamnya,
 supaya kerja yang
berjenama Islam mengikut landasannya yang sebenar
 dan menepati
kebijaksanaan
 yang ditunjuk oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Kecintaan kepada Islam adalah wajib, sebagaimana mempertahankannya juga
adalah
wajib. Perlu difahami bahawa setiap langkah hendaklah berlandaskan mesej yang
 istiqamah. Bukan sahaja berjaya mempertahankan Islam dan memelihara iman yang
 ada dalam diri dan penganutnya, dalam masa yang sama berjaya menyampaikan
 dakwah kepada bukan Islam yang menjadi sasaran dakwah Islamiah.

Perlu diambil iktibar, mengapa generasi awal Islam yang menghukum dengan keras
 terhadap orang Islam yang murtad, dalam masa yang sama menarik orang lain masuk
 Islam beribu kali ganda tanpa paksaan. Ini kerana Islam mengharamkan paksaan
terhadap penganut agama lain.

Mengapa pula pada zaman kita ini diuar-uarkan ramai yang murtad sehingga
 membimbangkan dan diberitakan terlalu berkurangan orang yang berminat kepada
 Islam. Kalau ada sekalipun kelihatan berkeliaran menunjukkan lesen mengemis
daripada jabatan agama.

Sedangkan pada zaman keemasan pemerintahan Islam, orang yang baru menganut
Islam boleh memegang jawatan tinggi dalam negara dan ada yang menjadi ketua
 negara. Malah ada yang menjadi ulama dan ilmuan terbilang yang membina
Hadarah Islamiyyah (Tamadun Islam) bukan Islam Hadhari yang sudah hampir
 lenyap suaranya.

Satu masa yang masih dekat berlalunya, ada seorang hamba Allah berjawatan mufti,
 meuar-uarkan ribuan orang Melayu menjadi murtad dan masuk agama Kristian dan
Hindu. Sehingga ada orang yang dipanggil polis dan mufti itu juga dipanggil polis
 untuk disoal siasat.

Namun beritanya hilang entah ke mana, entah diletak di bawah karpet atau di mana
 failnya. Wallahu’alam, terserah kepada pihak yang berkenaan sama ada ia berita
 benar atau provokasi yang sengaja dicetuskan.

Media Islam antarabangsa melaporkan perkembangan pesat Islam di Eropah,
Amerika, Asia Tengah dan Afrika. Di England sahaja mereka yang baru masuk
 Islam mencecah setengah juta orang dalam masa terdekat yang kebanyakannya
 kalangan terpelajar. Tiba-tiba masyarakat Islam di Malaysia dilanda taufan murtad.

Kesalahan murtad dimasukkan dalam perundangan Islam, dalam bahagian hukum
 jenayah berat. Adapun pendekatannya ditujukan kepada penganut Islam sahaja,
 tanpa disasarkan kepada penganut agama lain yang berada dalam masyarakat
 majmuk bersama masyarakat Islam.

Orang Islam sendiri yang disalahkan sekiranya berlaku murtad, sama ada individu
 yang murtad atau kerajaan yang lemah dengan pegangan Islamnya dan tidak adil
terhadap rakyatnya kerana tidak beramal dengan hukum-hukum Islam dan
akhlaknya yang mulia. Adapun kalangan bukan Islam diajak berdialog secara
 ilmiah dan dibuktikan beramal dengan akhlak Islam dan hukumnya yang adil.
 Inilah nas al-Quran dan Hadith.

Para ulama aqidah dan syariat menyatakan kepada umat Islam secara fardu ain,
bahawa batas-batas iman dan kufur, serta menegaskan takrif murtad apabila
seseorang itu melakukan apa sahaja yang membatalkan iman dan Islamnya atau
 membatalkan dua kalimah syahadah secara ilmu dan yakin tanpa paksaan.

Murtad itu bukan sahaja menganut agama yang lain daripada Islam,
 tetapi murtad
 juga berlaku walaupun tidak menganut apa-apa agama, atau
menganut sebahagian
 ajaran Islam sahaja, iaitu dengan tidak percaya kepada mana-mana ajaran
 Islam atau menghinanya, sama ada perkara rukun atau wajib dan sunat atau
halal dan haram
 atau harus.

Murtad juga boleh berlaku dengan mempersenda-sendakannya
 secara ucapan, tulisan,
kartun, lakonan drama dan sebagainya.

Adakah umat Islam hari ini diajar batas-batas iman dan kufur
dan perkara-perkara
yang membatalkan dua kalimah syahadah? Atau sekadar
mempelajari batal
sembahayang
 puasa sahaja. Ini menunjukkan kejahilan boleh menempah murtad
walaupun boleh dimaafkan
 kerana kejahilannya.

Rasulullah S.A.W. mengajar bangsa dan keluarganya batas sempadan
 di antara iman
dan kufur, dan sempadan kasih kepada Islam, bangsa dan keluarga.
Walaupun semuanya
 wajib dicintai.

Tetapi aqidah Islam asas kepada selamatnya keluarga dan bangsa.
Sehingga kaumnya
 menyedari bahawa selamatnya arab dengan Islam, bukan selamat
Islam dengan arab,
sehingga melahirkan bangsa arab yang berpegang dengan Islam tidak
 berlaku zalim
 terhadap kaum lain. Slogan "Selamat Melayu Maka Selamat Islam"
 menandakan
 masih kabur kefahaman terhadap batas-batas iman dan kufur.

Seluruh kajian orentalis yang dicatatkan menegaskan terlalu sedikit mereka
 mencapai
 kejayaan memurtadkan orang Islam sepanjang zaman penjajah,
 hanya segelintir sahaja
 penganut
Islam yang berjaya dimurtad meninggalkan agama Islam.

Maka dirancang melalui serangan pemikiran untuk memurtadkan umat Islam
daripada
mana-mana ajaran Islam melalui pendidikan, media dan budaya
nafsu yang melalaikan.
Bukan melalui cara meninggalkan agama Islam dan masuk agama lain, tetapi
melakukan kesalahan murtad dalam keadaan masih merasakan dirinya
 menganut Islam.

Apabila munculnya Kamal Atarturk yang dianggap bapa Turki moden, dengan
 melaksanakan sekularisme yang memisahkan politik daripada agama Islam
seperti yang dimaktubkan dalam kitab Injil Mathew, tampil dengan gagah berani
seorang tokoh besar ulama Turki Syeikh Mustafa Sobri, yang pernah menjadi
Syeikhul Islam kepada kerajaan Uthmaniyyah.

Beliau menegaskan dalam buku yang dikarangnya: “Bahawa teori sekularisme
 yang memisahkan politik (urusan pemerintahan negara daripada agama Islam)
 adalah jalan pintas paling terdekat menuju ke arah murtad. Fatwa ini dikuatkan
oleh Almarhum Mufti Arab Saudi Sheikh Abdul Aziz bin Baz dan Pengerusi
Persatuan Ulama Antarabangsa Dr Yusuf al-Qaradawi yang diberi anugerah
 Tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia.

PAS ingin mengambil contoh para Sahabat R.A. dan generasi awal umat Islam
 yang meneruskan perjalanan dakwah Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi
peristiwa murtad yang paling mencabar dalam seluruh sejarah Islam, dengan
kejayaan mengambalikan semula ratusan ribu mereka yang murtad kepada
Islam dan ramai kalangan selepas murtad berjaya menegakkan Islam sehingga
 menumbangkan kuasa besar Parsi yang zalim.

PAS tidak bersedia bangkit laksana keluar beramai-ramai untuk menangkap
hanya segelintir pencuri yang berjaya melepaskan diri,
dengan cara pencuri berada
 sama di kalangan orang ramai yang memburunya, sama-sama meneriakkan:
 Pencuri!
Pencuri! Akhirnya pencuri hilang bersama suara laungan yang berkumandang.

PAS tetap mengambil kira jasa Almarhum Tunku Abdul Rahman yang
 menubuhkan
Perkim dan berjaya mengislamkan tokoh-tokoh besar zamannya tanpa huru-hara,
dan memerhati kalangan mereka yang gagal meneruskan perjuangannya dan
 Perkim
hilang entah ke mana.

PAS juga mengambil kira kejayaan Almarhum Tun Datu Mustafa yang berjaya
 mengislamkan ribuan rakyat Sabah dengan pertubuhan United Sabah Islamic
Association (USIA), dan memerhati mereka yang lupakan tugas dakwah susulan
 kerana ditindih oleh kayu-kayu balak di Sabah dan Sarawak.

PAS memilih uslub menyampaikan mesej Islam dengan konsep yang ditunjukkan
 oleh al-Quran dan Rasulullah S.A.W. dengan cara memantapkan aqidah umat
Islam sendiri secara istiqamah yang menghalang murtad dengan ilmu dan syariat
yang tegas dan adil, menghukum penganut Islam, dan menyampaikan dakwah
kepada pihak lain tanpa paksaan dengan uslub hiwar antara agama dan tamadun,
serta berhujah dengan ilmu dan amal Islam yang adil dan sempurna.

No comments:

Post a Comment