Thursday 20 October 2011

Plot bunuh duta Saudi, KL tidak nyata pendirian jelas



Satu kenyataan menteri luar Malaysia yang dilaporkan Isnin lalu, yang
mengulas satu isu besar di peringkat antarabangsa kelihatan telah berlalu
 tanpa diberi perhatian sewajarnya.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat mendakwa kerajaan Iran terlibat dalam
komplot untuk membunuh duta Arab Saudi di Washington, Adel al-Jubeir.

Dua rakyat Iran didakwa mempunyai hubungan dengan pengawal revolusi Iran
 dikatakan terlibat dengan komplot itu.

Seorang daripadanya, Manssor Arbabsiar yang memegang kerakyatan AS
 telah ditahan manakala seorang lagi, Gholam Shakuri berada di Iran.

Kenyataan Datuk Seri Anifah Aman itu, yang dilapor dalam satu berita ringkas
 lima perenggan oleh Bernama dan turut disiarkan Utusan Malaysia tidak
memperlihatkan satu pendirian yang tegas dan bebas.

Laporan itu memperlihatkan satu pendirian yang mengelirukan, kerana mengutuk
 sesuatu yang didakwa dan tidak terbukti, dan bukan menggesa tindakan siasatan
 dijalankan.

Pendirian "mengutuk plot itu jika terbukti" seperti melepaskan batuk di tangga,
kerana membuat satu kenyataan isu besar melibatkan hubungan penting Kuala
Lumpur dengan negara lain tanpa menjelaskan sebarang hal penting.

Pada masa sama, satu kenyataan Anifah yang dipetik dalam laporan itu
 memperlihatkan pendirian bersungguh yang memperlihatkan Kuala Lumpur
meyakini kebenaran plot yang didakwa itu.

"Kami mengutuk sekerans-kerasnya sebarang tindakan untuk membunuh
seorang wakil diplomatik sebuah negara berdaulat yang merupakan orang
 yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa," kata Anifah dipetik
Bernama.

Dakwaan yang ditimbulkan oleh peguam negara AS itu berpotensi meningkatkan
 lagi ketegangan di wilayah Teluk Parsi dan keseluruhan Asia Barat, dan
 menimbulkan juga kemungkinan konflik antara dua kuasa serantau itu.

Iran, dalam satu kenyataan kementerian luarnya menolak dakwaan itu yang
disifatkan sebagai "tidak logik dan semata-mata satu pertunjukan media
dan politik."

"Tuduhan tersebut dihasilkan oleh seorang agen rahsia yang tersembunyi,
tidak dikenali berdasarkan kenyataan, tekaan dan sangkaan oleh individu
-individu yang terlibat dalam penyeludupan dadah!" tegas kementerian luar
Iran dalam kenyataannya.

Kenyataan rasmi kerajaan Iran itu, dan kenyataan pemimpinnya sebelum ini
mengelak daripada mengecam Arab Saudi, memperlihatkan sikap berhati-hati
Tehran dalam menangani politik serantau yang sedang menyaksikan potensi
 perubahan besar.

Menurut kenyataan itu, strategi Iran terhadap negara Arab terutama Arab Saudi
"didasarkan pada keamanan, persaudaraan dan kerjasama sepenuhnya" untuk
 mengekalkan keamanan Asia Barat dan Teluk Parsi.

Iran dan Saudi ialah pesaing serantau yang sentiasa berusaha mengatasi dan
menyekat pengaruh satu sama lain sejak tercetusnya revolusi di Iran pada 1979
yang mengubah
rejim dan sistem pemerintahan.

Saudi melihat kebangkitan rakyat di Bahrain dan timur Saudi yang majoriti
 penduduknya Syiah sebagai satu komplot Iran untuk meluaskan pengaruh
serantau.

Walau bagaimanapun, Iran dilihat cuba mencapai satu bentuk persetujuan
dengan Saudi untuk mengelakkan daripada persaingan kedua-dua kuasa
 serantau tersebut mencetuskan konflik.

Pada Julai lalu, Menteri Pertahanan Iran Ahmad Vahidi dilapor berkata
 bahawa AS "sedang berusaha untuk memecah-belahkan negara serantau"
untuk mengelakkan penubuhan sebuah aturan keselamatan serantau, yang
 berpotensi mengukuhkan pengaruh Iran atau mengawal persaingan Iran
 dengan Saudi.

Kenyataan terbaru Kuala Lumpur ini merupakan yang terbaharu
memperlihatkan pendirian yang kelihatan tidak berdasarkan penilaian
 yang sewajarnya
.

No comments:

Post a Comment