Monday, 28 November 2011

Sambutan 60 Tahun PAS Negeri Johor: PR Gempur Kubu UMNO


 Kemuncak Majlis Karnival Sambutan PAS Ke-60 peringkat negeri Johor telah menyaksikan pelbagai pelancaran sebelum penyempuraan perasmian penutupnya itu dilakukan sendiri oleh Tuan Guru Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), dekat sini, ahad lepas.

Antara pelancaran yang menghiasi Dewan Marwan Al-Hakam, Dataran Hj. Mardi itu seperti perasmian Jentera Pilihan raya Umum (PRU) Ke-13, Penyampaian Tokoh PAS negeri Johor dan Pelancaran Skuad Prihatin peringkat negeri Johor.

Adapun slot penyampaian Tokoh PAS pula, telah dibarisi daripada individu yang bekerja seikhlas hati bagi memartabatkan Islam di bumi Johor.

Antaranya Tn. Hj. Hassan Hussin, mantan Pesuruh Jaya, Allahyarham Ust. Omar Jani, Allahyarham Ismail Ibrahim, Tn. Hj. Sattar Kahar, Allahyarham Daing Turus Daing Malbek, Tn. Hj. Taib Hj. Kassim, Pn. Hjh. Sapiah Sapeh, mantan Ketua Dewan Muslimat negeri Johor dan Dr. Sanusi Daing Mariok, mantan Pesuruh Jaya.

Pada majlis yang sama juga, montaj Skuad Prihatin telah dipertontonkan dengan bermatlamatkan menyemarakkan gerak kerja kebajikan yang lebih tersusun dan berkualiti.

Skuad dibawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Badan Perhubungan PAS Negeri Johor itu, selain berfungsi menghubungkan PAS dengan masyarakat, ia turut berperanan mengambil berat masalah kesihatan dan kematian rakyat Johor.

Menurut Pengerusinya, Hj. Dzulkefly Ahmad, pihaknya cuba memperkenalkan skuad ini menerusi mottonya ‘We Care’ dengan harapan isu-isu kebajikan dan kemasyarakatan dapat ditangani dengan segera.

Justeru katanya lagi, beberapa unit telah ditubuhkan supaya penumpuan kepada beberapa komponen lebih terarah dan tersusun.

”Skuad ini akan digerakkan ke seluruh PAS kawasan di johor ini dengan 3 Skuad iaitu Skuad Kesihatan, Skuad Bencana dan Skuad Sosial,” ujarnya lagi.

Sepanjang hari ketiga berlangsungnya Karnival ini pelbagai acara telah diadakan antaranya Rawatan Perubatan Percuma, Motor Show dan Auto Show.

Sementara itu, malam kemuncak program turut dihiasi dengan ucapan-ucapan pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuklah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tn. Hj. Mohammad Sabu, Timbalan Presiden PAS, Dr. Boo Cheng Hau, Pengerusi DAP Johor, Dato’ Dr. Hj. Mahfodz Mohammed, Pesuruh jaya PAS Johor.

Difahamkan, dewan terbuka yang baru dibina bagi membolehkan majlis karnival ini berlangsung adalah diusahakan oleh Tn. Hj. Mardi Marwan yang dahulu antara pemimpin UMNO yang dihormati.

Dalam pada itu, beliau yang pernah dilantik sebagai Ketua cawangan UMNO, amat gembira selain bangunannya telah dipilih oleh pimpinan negeri untuk dilakukan program parti malah pengisian program seperti munajat, solat hajat, solat berjemaah, taujihat pimpinan, forum dan ceramah turut diadakan.

Katanya lagi, pengisian program sebegitu, jauh lebih baik dan bermanfaat berbanding sewaktu beliau berada di dalam UMNO.

”Itu kemanisan (berjuang) dalam diri. Saya pernah pergi mesyuarat agung UMNO, tidur dekat hotel. Dalam PAS saya tidur dekat surau.

”Rezeki Allah yang bagi, bukan UMNO bagi. UMNO kalau dapatpun, (tapi) rezeki yang bukan-bukan. Saya tahulah. (sebab) lama dalam UMNO.

”Kalau duduk dalam UMNO tu, cepat-cepatlah (keluar). PAS ganti UMNO,” ujarnya yang juga mantan AJK Bahagian Sri Gading.

Tinjauan turut mendapati, sejak jam 8.00 malam lagi orang ramai mula berpusu-pusu memenuhi perkarangan Dataran Hj. Mardi menyebabkan pihak keselamatan terpaksa menutup ruang parkir di bahu jalan sekitar tapak program bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas pada jalan Ayer Hitam-Kluang.

Sejurus majlis bermula, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang berkesempatan mengunjungi gerai-gerai pameran dan merasmikan gerai Madrasah Al-Masriyyah, Simpang Renggam yang baru sahaja menyambut perayaan Jubli Peraknya yang ke 25 tahun sambil diringi paluan kompang.

Disamping itu, Presiden PAS turut diberi penghormatan melancarkan montaj Sambutan 60 Tahun Peringkat Negeri Johor sebelum memberikan ucapannya.

Kaum Cina dan India bersama dengan kira-kira lebih 6000 orang antara pengunjung yang hadir menyaksikan malam kemuncak Karnival Sambutan PAS Ke-60 yang berakhir jam 12 00 malam.

Hijrah membentuk negara Islam

Perutusan Hijratur-Rasul Al-Mursyidul Am PAS Sempena Tahun 1433 Hijrah
 بسم الله الرحمن الرحيم
وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islahttp://4.bp.blogspot.com/-1d9y30jZGBg/TmguaQWkD_I/AAAAAAAAB1Q/J-W4ifc6BRo/s1600/nik-aziz.jpgm), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
– Surah al-Nisa’ ayat 100


Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesykuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana taufik dan inayahNya, kita masih diberikan peluang untuk terus hidup melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah pada saat ini. Semoga dengan pertambahan umur yang dikurniakan oleh Allah SWT ini memberikan kita ruang untuk terus menambahkan ibadat dan memperkasakan perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah SWT.
Sesungguhnya, menyambut ulang tahun Hijratur-Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan.
Sambutan Hijratur-Rasul ini sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah. Hakikatnya, Hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada awal tahun dan tidak berlaku pada bulan Muharram.
Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mula keluar dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Baginda keluar dari Mekkah bersama-sama dengan sahabat baginda yang paling setia Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a setelah mendapat perintah dari Allah s.w.t agar bersama-sama dengan umat Islam di kota Madinah.
Rasulullah s.a.w tiba di kota Madinah dan mula menetap di sana pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal. Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA.
Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’? Jawabnya ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara.
Pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara.
Sebagaimana umat Islam diwajibkan untuk mengerjakan solat lima kali sehari, berpuasa selama sebulan dalam satu tahun dan mengerjakan haji sekali sepanjang hidup, demikianlah juga diperintahkan agar bernegara dan melaksanakan undang-undang menurut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Kita tidak rela jika pembangunan fizikal pesat berlaku namun dalam masa yang sama kita menyaksikan runtuhnya nilai-nilai agama dan jauhnya manusia daripada Allah SWT.
Alangkah ruginya hidup manusia jika hanya mendapat kemegahan, kemewahan dan kekayaan di dunia semata-mata namun di akhirat dilemparkan Allah SWT ke tempat yang buruk iaitu neraka hanya kerana enggan tunduk patuh kepada Allah SWT. Justeru, PAS mendidik rakyat agar kenal batasan iman dan kufur, batasan syurga dan neraka serta batasan pahala dan dosa, agar tidak berlaku penolakan terhadap mana-mana perintah Allah SWT. Ini kerana iman sifatnya ialah syumul. Menolak satu cabang iman bererti menolak keseluruhan iman itu sendiri.
Dari aspek yang lain, hijrah juga mengajar umat Islam agar berstrategi dalam apa jua langkah dan gerak kerja. Bagaimana kita melihat Rasulullah SAW mengatur strategi yang cukup teratur di dalam berhijrah, demikianlah juga wajib untuk kita mengatur strategi dan mempunyai perancangan yang tersusun di dalam memastikan gerak kerja yang dilakukan berkesan dan berjaya. Strategi Rasulullah SAW dapat dilihat apabila baginda datang ke rumah Saidina Abu Bakr as-Siddiq pada waktu siang hari iaitu waktu yang tidak akan dijangka dipilih untuk keluar dari Mekah.
Baginda juga mengupah Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik menunjukkan jalan dan ini mengajar bagaimana harusnya bekerjasama dengan non muslim dalam urusan yang boleh mendatangkan faedah kepada Islam. Baginda juga memilih untuk berlindung di dalam Gua Thur yang bukannya terletak di pertengahan jalan menuju ke Madinah dengan tujuan untuk mengelirukan kaum musyrikin. Nyata sekali semua strategi yang diatur oleh baginda Rasulullah SAW ini berjaya mengeluarkan baginda dari kota Makkah dan menuju ke Madinah dengan selamat. Justeru, apabila kita menyambut peristiwa Hijratur Rasul pada hari ini, kita sebenarnya menyambut peristiwa fatonah atau kecerdikan baginda.
Pada zaman kita hari ini, pengurusan hidup hendaklah bersendikan fatonah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Fatonah ini pula hendaklah disertakan dengan amanah. Fatonah tanpa amanah akan melahirkan generasi yang punah iaitu generasi yang cerdik tetapi jauh dari Allah SWT. Hari ini, kita melihat setiap hari didedahkan pelbagai skandal dalam pengurusan wang samada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai. Laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat.
Ketirisan ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat jelata. Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan penyelewengan?
Tidak lain melainkan hanyalah kerana manusia tidak mampu dikawal oleh undang-undang manusia. Yang mampu memagari manusia dari melakukan perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah SWT. Inilah misi PAS di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihanraya untuk mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT.
Di Kelantan, kita menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi, larangan penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti takaful kifalah, skim armalah, skim al-it’am dan sebagainya semuanya bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi dan ukhrawi.
Hijrah juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dipakaikan dengan alat kebesaran raja Parsi sedangkan baginda sedang di dalam perjalanan menuju ke Madinah. Janji tersebut nyata sekali menjadi kenyataan selepas kewafatan baginda iaitu pada saat kejatuhan kerajaan Parsi pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA. Oleh yang demikian, pada saat dunia kelam pekat diselubungi gelap sekular, yakinlah, jahiliyyah pasti akan tumbang, dan Islam pasti akan tertegak juga di bumi Allah SWT ini.
Insya-allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta. Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah.

‘Tak Nak BN’, jawapan kepada rayuan Najib

‘Tak Nak BN’ adalah jawapan kepada rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat supaya memilih lagi BN untuk memastikan agenda transformasi beliau terlaksana.
AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, pada mula rakyat mungkin kagum dengan gagasan awal Datuk Seri Najib, seolah-olah beliau mahu membuat perubahan di negara ini.
Tetapi, katanya lama-kelamaan Najib menunjukkan siapa sebenarnya beliau kerana rakyat sudah mual dengan slogan transformasi yang bertukar menjadi nasi basi.
Apa tidaknya, jar beliau semakin hari semakin terserlah siapa sebenarnya Datuk Seri Najib.
“Ahli Umno sudah maklum beliau memang terkenal sebagai seorang yang kaya dengan retorik sejak daripada beliau memegang Ketua Pemuda Umno lagi.
“Buktinya ketika  beliau mengumumkan untuk menghapuskan ISA,  13 mangsa di Sabah ditangkap,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ketika Najib mengumumkan untuk memberi kelebihan kepada rakyat berhimpun, tiba-tiba  pindaaan yang lebih teruk daripada sebelumnya, malahan lebih teruk daripada Myanmar.
Katanya lagi, ketika indeks rasuah negara semakin teruk, beliau masih berasmara dengan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda, walaupun beliau memang disabit rasuah di dalam pemilihan Umno.
“Cuba bayangkan daripada 3.2 juta ahli Umno, yang dipilihnya ialah Tan Sri Isa Samad, apa kelebihan yang ada pada Isa Samad, sehingga Datuk Seri Najib tidak nampak  selain daripada beliau, sedangkan Felda adalah satu institusi yang cukup penting yang mempunyai dana dan eset yang begitu banyak selepas Petronas.
“Sekarang beliau merayu supaya rakyat memilih lagi BN?” soalnya.
Idris berkata, dengan sikap yang ditunjukkan oleh beliau selama menjadi Perdana Menteri telah gagal menggulakan rakyat dengan slogan 1Malaysia yang terbaru ialah slogan wasatiah.
“Beliau tidak sedar ketika beliau beretorik dengan slogan transformasi rakyat menunggu dengan penuh ketekunan dan mencatat apa yang beliau cakap.
“Tiba-tiba rakyat nampak ini hanya slogan kosong setelah menunggu sekelian lama,” ujarnya.
Belia menambah, rakyat percaya jika BN menang maka GST, cukai 6 % prepaid, harga minyak, gula, tepung dan keperluan rakyat akan naik.
Akhirnya, kata belia rakyat akan menjawab ‘Tak Nak BN’ dalam PRU ke-13 nanti.

Jangan sampai dikata SPR, JPN bela ‘hantu’

Pendedahan demi pendedahan telah dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui Lajnah Mobilsasi Rakyat mengenai pemberian kad pengenalan kepada warga asing, namun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih lagi tidak bertindak mengikut tahap profesionalism mereka.
Pengerusi Lajnah Pekerja dan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Ghazali Hasbullah berkata,  jawapan yang dikeluarkan setakat ini adalah kenyataan politik, seolah-olah mewakili Umno BN.
“Antara jawapan yang dikeluarkan adalah, pihak-pihak tertentu tidak mengemukakan bukti kepada SPR.
“Bukti yang bagaimana lagi yang diperlukan oleh SPR dan JPN?” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sehingga kini, katanya SPR telah mengiktiraf kenyataan PAS bahawa wujudnya pengundi hantu.
Pengiktirafan itu, ujarnya dibuktikan melalui pendedahan nama-nama meragukan yang bukannya seorang dua, tetapi sehingga lebih 60,000 nama.
Menurutnya, Pengerusi  SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan  berkata nama-nama itu disiarkan untuk tatapan umum di laman web dan media bagi membolehkan individu berkenaan mengunjungi pejabat SPR bagi membantu menjelaskan kedudukan.
“Namun, sehingga kini, kita menyedari bahawa ini hanyalah tindakan yang sekadar ingin melepaskan jerut di tengkuk bahkan ianya acuh tidak acuh,” katanya lagi.
Tambahnya, terdapat beberapa sudut tindakan yang hanya dengan itu membuktikan SPR telus dan benar-benar menegakkan demokrasi di dalam negara.
“Nama-nama yang disiarkan, mempunyai rekod alamat tempat tinggal.
“Mengapakah tiada agensi, baik SPR, mahupun JPN melakukan penjejakan terhadap mereka ini?” soalnya.
Ini, ujarnya adalah suatu kesalahan jenayah, kerana memalsukan maklumat diri seseorang warganegara.
Beliau berkata, sebelum mereka mendaftar sebagai pengundi, ‘hantu-hantu’ itu perlu mempunyai kad pengenalan yang berasingan supaya dapat didaftar sebagai pengundi kedua atau berganda.
Ujarnya lagi, penghasilan kad pengenalan ini dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara dan rekod petugas yang mendaftar mereka di kaunter ada di dalam simpanan JPN.
Maka, soalnya mengapa petugas-petugas yang mendaftar itu tidak disoal siasat.
Bahkan, katanya jika didapati bersalah, mereka perlu ditangkap dan dibicarakan kerana mencemarkan institusi demokrasi negara dan secara lebih jelas, memperjudikan keselamatan negara kita.
Katanya, pihak PDRM perlu menahan ‘hantu-hantu’ itu kerana mereka telah menipu kesemua rakyat negara ini dan memperjudikan keselamatan negara.
Setelah siasatan dibuat, katanya pendedahan siapakah yang merupakan dalang utama ini pendaftaran haram hantu-hantu ini perlu dibuat.
“Dalang-dalang ini perlu disiarkan muka mereka dikaca televisyen, dituntut meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia yang mendambakan keadilan.
“Pihak SPRM juga perlu melihat kes ini dengan lebih kritis kerana mungkin membabitkan salah guna kuasa pihak SPR atau JPN,” ujarnya.
Sepatutnya, kata beliau tindakan diatas perlu dikoordinasikan oleh pihak SPR jika benar-benar ingin melihat demokrasi negara ini menjadi bersih dan adil.
Tambahnya, jika tindakan-tindakan itu tidak diambil, maka ternyata, SPR bahkan JPN memang dianggap hendak membela ‘hantu-hantu’ itu atas sebab-sebab menjaga kepentingan ahli politik dan parti pemerintah kerana SPR dan JPN adalah dilantik oleh pemerintah BN yang zalim.
“Kami memperingatkan SPR dan JPN, supaya harta yang mereka cari, demi menjaga kerajaan BN serta diri mereka sendiri tidak menjadi bahan bakar api neraka di akhirat nanti,” ujarnya

RUU Himpunan: Transformasi palsu halal kezaliman

 PAS mengingatkan kerajaan Umno BN bahawa transformasi yang dicanang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mestilah ke arah lebih baik, bukan undur ke belakang.
“Jangan sesekali cuba memperkenalkan transformasi palsu yang berlindung di sebalik akta atau rang undang-undang (RUU) bagi menghalalkan tindakan zalim pemerintah,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man  dalam satu kenyataan.
Katanya, PAS menegaskan pendirian bahawa RUU Himpunan Aman (RUUHA) 2011 mesti ditarik balik kerana mempunyai kecacatan melampau dan ianya tidak langsung memberi gambaran “aman” sebagaimana dicanangkan.
“Rakyat melihat RUU ini adalah gambaran kecelaruan dan kebimbangan parti Umno-BN yang kini berhadapan dengan kebangkitan rakyat.
“Apakah Umno tidak belajar daripada pelbagai akta zalim yang dilaksanakan di Timur Tengah sehingga menyebabkan kemarahan rakyat?” tanya beliau.
Bahkan, ujarnya mereka bangkit bukan sahaja medesak undang-undang dipinda tetapi menumbang terus kerajaan yang zalim itu.
RUUHA, katanya merupakan kebimbangan pemerintah terhadap keputusan yang akan dibuat oleh rakyat dalam PRU13 akan datang, bagi membolehkan kerajaan bertindak menangkap dan menghukum sesiapa sahaja yang berhimpun menunjuk perasaan tidak puashati terhadap tindakan kerajaan.
Rakyat umum perlu disedarkan tentang implikasi RUUHA ini, kerana seandainya ia diluluskan, maka rakyat sudah pasti hampir tidak boleh langsung berhimpun bagi meluahkan bantahan terhadap sebarang isu-isu yang tidak berpihak pada kerajaan Umno BN walaupun ia jelas menindas mereka, ujarnya.
“Ingatlah, kemarahan rakyat tidak akan dapat disekat dengan undang-undang. Ambillah pengajaran daripada sepucuk surat yang dihantar oleh Saidina Umar bin Abdul Aziz tatkala beliau menerima permohonan peruntukan kewangan bagi membuat benteng untuk menyekat sekumpulan golongan pemberontak,” ujarnya.
Jelasnya, kata Umar bin Abdul Aziz: "Bentenglah kemarahan rakyat kamu dengan keadilanmu, payungi rakyatmu dengan kasih sayangmu, kerana itu lebih baik dari kamu membina benteng besi menyekat kemarahan rakyatmu”.

Sunday, 27 November 2011

Wasatiyyah kempen imej antarabangsa Najib
















Wasatiyyah, kempen baharu pentadbiran Najib ialah usaha terbaharu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dalam membina imej antarabangsa sebagai pemimpin Muslim moderat, imej yang diharapkan untuk mengukuhkan kedudukan dan mendapat kepercayaan Barat.

Walaupun ada yang melihat konsep itu sebagai satu ide baharu yang merupakan reaksi kepada kempen 1 Malaysia sebagai persediaan menghadapi pilihan raya, wasatiyyah mengukuhkan lagi gagasan moderat yang diusahakan Najib sejak mula menjadi perdana menteri pada 2009.

Kenyataan-kenyataan Najib sebelum ini, antaranya melibatkan isu gerakan politik Ikhwan al-Muslimin di Mesir dan laporan kematian Osama bin Laden telah menampakkan sikap yang cuba ditunjukkan oleh Najib itu.

Kempen ini sebahagiannya boleh dijelaskan oleh perkembangan politik semasa, iaitu posisi kerajaan Barisan Nasional ditunjangi Umno yang semakin lemah dan kelihatan mengharapkan sokongan dan kepercayaan kuasa-kuasa Barat.

Pemerintah kini bersaing dengan gerakan pembangkang untuk memperlihatkan diri sebagai kuasa demokrasi liberal yang boleh dipercayai untuk menerajui Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan seminar membincangkan ide wasatiyyah baru-baru ini, bersempena perhimpunan agung Umno, parti terbesar dalam gabungan membentuk kerajaan pusat.

Dua pengumuman penting penubuhan sebuah gerakan moderat oleh Najib di peringkat antarabangsa dilakukan di Amerika Syarikat.

Januari tahun depan, Gerakan Moderat Global (GMM) dijadual dilancarkan di Malaysia, setahun selepas Najib mengumumkan gagasan ini di New York.

Najib mengumumkan pelancaran GMM dalam satu majlis di East-West Center, Honolulu, Hawaii, lokasi sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, Apec, pertengahan November.

Perkembangan terbaharu ini berpotensi menambahkan imej positif Najib, yang berjaya menjadi Apec - yang tahun ini menyaksikan Presiden AS Barack Obama menjadi tuan rumah - satu platform melonjakkan satu agenda dasar luarnya.

Najib telah menunjukkan usaha merapatkan beberapa dasar seperti nuklear, hak asasi dan terorisme dengan pendirian kuasa-kuasa besar, yang dilihat sebagai usaha untuk memenangi sokongan dalam persaingan dengan pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan Najib dengan Obama membincangkan isu nuklear, penggubalan akta keselamatan baharu yang didakwa bermodelkan Akta Patriot AS merupakan beberapa perkara yang memberi gambaran hubungan terkini pentadbiran Najib dengan Washington.

Era kebangkitan rakyat, bagaimana Malaysia?


Revolusi Global: Dunia Dalam Era Kebangkitan Rakyat (2011)
Oleh Haris Zalkapli
Buku Harakah, RM15.00.

Buku terbaharu terbitan Harakah, Revolusi Global: Dunia Dalam Era Kebangkitan Rakyat, membawa isu protes rakyat yang menjadi trend sedunia pada masa ini, hingga dirasai kesannya di Malaysia.

Buku menghimpunkan artikel isu kebangkitan rakyat yang sedang berpusat di dunia Arab. Mengulas isu-isu serantau dunia Arab sejak 2009, ketika kebangkitan berlaku di Yaman, dan tahun berikutnya di Bahrain.

Mengandungi analisis krisis dan konflik serantau dan kedudukannya dalam percaturan serantau melibatkan persaingan Arab Saudi dan Iran, agenda Turki, Qatar dan kuasa besar Barat.

Turut menimbulkan persoalan peranan internet, media baharu dalam kebangkitan dan konteks tempatan; potensi "revolusi" berlaku di Malaysia.

Wednesday, 16 November 2011

Ku Li, dari team B ke plan B


Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Umno mewakili Gua Musang di Kelantan memunculkan semula dirinya dalam politik negara, memperlihatkan ketahanan ahli politik veteran ini.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ku Li ialah seorang daripada dua orang yang pernah mencabar presiden Umno, dan kini masih lagi bersama parti itu.

Dibandingkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang rancangannya menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998 tidak berjaya, Ku Li tidak berdepan akibat seperti yang dihadapi Anwar, dan masih dapat diterima dalam Umno.

Pada masa yang sama, Ku Li berjaya menunjukkan diri sebagai tokoh yang berpengaruh - walaupun semua tidak sependapat dalam hal ini - di kedua-dua belah garis politik membahagikan kumpulan terbesar, dan diambil kira dalam rancangan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara sejak rancangan 16 September pada 2008.

Menjelang 11 September, 2008, Ku Li pernah disebut-sebut akan menyertai gabungan pembangkang dan bersama merampas kerajaan pusat daripada Barisan Nasional.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, Ku Li sekali lagi menjadi tumpuan ekoran gerakannya sejak beberapa bulan lalu, sehingga disebut-sebut ditawar untuk menggantikan Anwar sekiranya ketua pembangkang itu dipenjara.

Ku Li kini melalui Angkatan Amanah Merdeka terus cuba meletakkan diri di kedudukan yang penting kepada kedua-dua pemerintah dan pembangkang Pakatan Rakyat.

Beliau sememangnya menjaga hubungan baik dengan PAS yang menguasai Kelantan, dan bersama dalam menuntut royalti minyak, satu perjuangan penting PAS Kelantan.

Ekoran rasminya penubuhan Amanah, Ku Li kelihatan cuba menjarakkan diri daripada Umno, dengan cuba mengambil satu ruang tengah yang berpotensi membolehkan beliau meningkatkan kepentingan kepada kedua-dua pemerintah dan PR.

Pilihan bergerak melalui Amanah kelihatan menjadi pilihan terbaik Ku Li, dengan memperlihatkan tidak sepenuhnya sehaluan dengan Umno yang dinilai dalam keadaan kritikal dan pada masa sama tidak menyertai PR dan mencetuskan rasa kurang senang ramai pemimpin yang bersaing untuk mendapat kedudukan.

Ku Li kini menjadi pemimpin paling senior dan mungkin paling mudah menjadi pilihan kompromi untuk menjadi perdana menteri dalam kes senario Anwar dipenjara dan BN berdepan situasi lebih buruk berbanding 2008, kerana agak kurang mencetuskan pertentangan berbanding beberapa tokoh lain.

Berbanding pemimpin-pemimpin lain juga, Ku Li mungkin yang paling bercita-cita besar dan paling bersedia untuk berjuang mendapatkan kedudukan perdana menteri.

Aktiviti Ku Li bersama Amanah kini boleh dilihat sebagai tempoh paling aktif dan agresif beliau untuk menempatkan diri di posisi kuasa selepas episod mencabar Mahathir pada 1987 dan tewas.

Kemunculan semula Ku Li dengan tawaran baharu kini menggambarkan kesediaannya untuk sekali lagi berusaha mencapai impian kuasanya, yang pertama kali dilakukan pada 1987.

Ku Li, ekoran perkembangan ini, berpotensi menjadi pelan B kepada rancangan pakatan pembangkang merampas Putrajaya di bawah pimpinan Anwar, sekiranya PR menerima beliau sebagai sekutu, sekiranya situasi memerlukan nanti.

Monday, 14 November 2011

kepentingan Usrah..

Apabila kita menyebut wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa'I (sedar) dan waqi'I (realistic). Kita hendaklah sedar bahawa kita ialah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksimum mungkin untuk memanggil dan mengajak, bukan untuk berebut mahupun memaksa. Dalam hal ini, dua wasilah kita gunakan, iaitu wasilah umum dan wasilah khusus.
Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk menyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah sama ada dengan lisan, tulisan mahupun dengan qudwah hasanah (contoh teladan yang baik). Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh) dan apa itu aqidah yang benar. Kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.
Kita mengadakan majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan majlis-majlis lain yang boleh kita sampaikan mesej Islam. Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta'rif (pengenalan) yang kandungan utamanya ialah Islam dan iman, bukannya perkumpulan. Hanya apabila telah diyakini bahawa mad'u (sasaran dakwah) dapat menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan usaha kita kepada wasilah khusus.
Dalam wasilah khusus, konsep 'amal jama'i ialah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan. Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu dilalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (pelaksanaan).
Dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenal pasti dan yang dapat menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa'id Hawwa sebagai nizam al-da'wah yang berbentuk sufi pada rohnya dan ketenteraan dalam amalannya, yang syiarnya ialah perintah dan taat.
Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berada dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja. Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan kader yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan. Di sini beberapa pengorbanan diperlukan dan pengorbanan akan merupakan sebab kepada peningkatan iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.
Marhalah al-tanfiz, marhalah kedua, ialah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani. Dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keikhlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.
Banyak orang yang boleh berteori dan banyak orang pula yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang banyak itu akan sanggup menanggung berbagai-bagai mehnah dan ibtila' (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.
Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangan yang didatangkan oleh manusia sama ada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.
USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIAH HARAKIAH
Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.
Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Proses pembentukan itu bermakna makna penekanan dan perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh. Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.
Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan 'amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasI oleh kebatilan yang kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.
PENTADBIRAN USRAH
Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas--jangan sampai ke peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap aspek Islam. Kepelbagaian boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.
  • Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:
  • Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.
  • Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program tarbiah.
  • Dirancang dengan rapi dari semua sudut. Dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba' dan ahli.
Antara ciri keberkesanan sesuatu usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan dengan sempurna:
  • Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam? Sejauh mana konsep al-ta'awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam? Sejauh mana ikatan dibentuk? Sejauh mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?
Akhirnya marilah kita sama-sama membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za'imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur'an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).
Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.

Friday, 11 November 2011

Semakin Jauh Kita Dari-Nya,Semakin Dekat Dia Dengan Kita..





Bismillah...
Alhamdulillah Wa Syukurilah..
terdetik dihati nak sambung 'menconteng' kat blog ni..hehe...
setelah melalui minggu-minggu yang sukar..tercari-cari ketenangan yang dapat mendamaikan hati ini.

Sem lepas banyak bagi pengajaran paling berguna dalam hidup.teringat kata-kata semangat dari rakan..."pengajaran adalah guru terbaik dalam hidup"..benar..tak dapat dinafikan..sebab tu lah ada ayat yg mengatakan bahawa "kegagalan itu adalah kejayaan yang 'tertangguh'"..

Pada saat kita bersedih..kita pasti merasa kecewa dengan keadaan yang serba tak kena..malahan pernah juga kita merasa kita tidak dipedulikan.kita rasa bagai tiada yg membantu..dan adakala kita menyatakan bahawa Allah tidak membantu kita..ini kerana setiap hari kita berdoa namun masih buntu dan masih tidak dapat apa yang dipohon..

ayuh.tepuk dada,tanya iman..

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu. Boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagimu. Dan (ingatlah), Allah jua yang Maha Mengetahui (semua itu) sedang kamu tidak mengetahuinya." al-Baqarah : 216

Kita merancang,Allah juga merancang..sesungguhnya,perancangan Allah adalah lebih terbaik dari kita yg hanya sebagai hambaNya..

Mungkin doa kita tidak termakbul sekarang..tetapi ia akan termakbul kelak..Allah maha mengetahui..segala yg berlaku adalah atas kehendakNya dan ada hikmahnya..

Suka untuk menyatakan bahawa kita haruslah bersangka baik dgn Allah..kita hanyalah makhluk ciptaanNya..hidup ini indah..kemanisan kebahagian serta ketenangan dalam kehidupan ditentukan dengan cara kita beribadah serta beramal..boleh jadi tatkala kita lalai diuji..kita sering terlupa Allah sedang memerhati..

Cuba kita andaikan sekiranya Allah itu tidur seperti kita..apa akan terjadi..?? naahh..Allah itu tidak tidur..dan tidak ber-anak..ibarat lampu isyarat yang tiada punca elektrik..yang akhirnya menghuru-harakan situasi dan tidak dapat membantu kelancaran traffik di sebuah persimpangan yang akhirnya menyebabkan pertembungan dan mampu membahayakan nyawa-nyawa sang makhluk bernama manusia..

Semakin jauh kita dariNya,Semakin dekat Dia dengan kita..

Dalam berdoa..teringat pula pada kata-kata seorang pakar motivasi yg terkenal di Malaysia..beliau menyatakan "mungkin kita berdoa hanya 99 kali,,tetapi ditakdirkan bahawa doa itu akan dimakbulkan setelah kita berdoa 100 kali,Allah maha mengetahui"..ini menunjukkan bahawa usaha itu penting..usaha secara terus menerus tanpa henti..

Tetapi kerap kali kita rasa kecewa kerana doa tidak dimakbulkan..ini sering menyebabkan kita sering lali/serik nak berdoa..

Bukan Allah tidak mendengar kita..tetapi Allah mahu menguji kita..sejauh mana kita berdoa,sejauh mana kita berusaha..ibarat yang dikatakan tadi,kita harus berusaha terus menerus tanpa henti..tanpa kenal perkataan "mengalah" atau bak kata orang putih "Give up"..hoho..
InshaAllah..Allah akan sentiasa memberi petunjuk pada kita satu hari nanti..sebab tu lah..segala yang berlaku ada hikmahnya..mungkin kita rasa kita mahukan sesuatu yg berharga..tetapi ianya buruk untuk kita (mungkin barang itu boleh memudaratkan kesihatan,mungkin juga barang itu boleh melalaikan kita dari melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang mukmin/khalifah di muka bumi ini).

Jadi ayuh kita koreksi diri.sesungguhnya Allah juga merancang.bertaqwalah.kita sebagai hambaNya perlu senantiasa berdoa dan bertawakal segala yang baik untuk diri kita..(pesanan untuk diri sendiri jugak..huhu)
Jom bersangka baik dengan Allah..:)

MODUL PROGRAM KEM SMART SOLAT








'Melentur buluh biarlah dari rebungnya'begitulah pepatah yang amat sinonim dengan pendidikan Solat bagi anak di peringkat awal. Solat merupakan tiang agama, bayangkan rumah tanpa tiang sudah tentu ia akan roboh dan musnah pada bila – bila masa. Oleh itu generasi muda khususnya anak - anak diperingkat sekolah perlu diberikan penekanan tentang kepentingan solat dalam kehidupan.


Modul Program SMART SOLAT Sesuai Untuk Di Laksanakan Pada Musim Cuti Sekolah.
Sesuai untuk dijalankan kepada para remaja bermula dari peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah.

Modul ini bertujuan untuk ;-


1. Memberi kefahaman kepada generasi muda tentang kepentingan Ibadah solat.
2. Menanam semangat berjemaah dikalangan generasi muda.

3. Memperkenalkan konsep SMART dalam kehidupan remaja muslim.

Sesuai untuk :
1. Guru -guru sekolah
2. Syarikat Perunding Latihan
3. NGO Islam
4. Individu yang berminat

Kandungan mengandungi 8 bab utama iaitu Taaruf, SMART, Wudhuk, Solat, Azanadan Iqamah, Soalan - soalan praktikal dan ujian kefahaman pelajar.

Modul ini amat praktikal dan merangkumi semua aspek dalam usaha membudayakan solat dalam kehidupan remaja Islam.


Harga RM 60.00 kos penghantaran percuma
sila sms kepada 0168487317 Abu Muadz
Bayaran Boleh dibuat Setelah CD Diterima di tangan anda !
Tempah sekarang dengan borang dibawah ..

BORANG LANGANAN

Tuesday, 8 November 2011

Siapa sebenarnya politikkan Seksualiti Merdeka?



Acara kempen kesedaran hak gay, Seksualiti Merdeka menjadi satu lagi isu yang memperlihatkan perbezaan politik yang menjurus kepada perpecahan Melayu Muslim di Malaysia, ketika umat sedang melalui musim haji.

Kedua-dua parti politik Melayu Muslim, PAS, Umno dan penyokong mereka, memperlihatkan kecenderungan menggunakan isu itu sebagai kempen politik.

Umno jelas sekali lebih didorong untuk mengecam program dan gaya hidup itu disebabkan penglibatan Datuk Ambiga Sreneevasan yang mengetuai Bersih 2.0 yang digerakkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

Tetapi perlu diakui hal ini bukan satu-satunya faktor mendorong Umno menyatakan pendirian yang tegas itu. Sebagai parti yang konservatif, penentangan itu sememangnya kena dengan pendiriannya.

Penegasan pendirian Umno yang menentang gaya hidup gay itu juga dapat dimanfaatkan untuk memberi tumpuan kempen negatif terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan aktivis liberal yang aktif dalam PKR.

Kempen negatif terhadap Anwar dan PKR itu menjadi salah satu isu utama yang dimainkan oleh Umno terhadap musuh politik mereka itu, terutama ekoran kes melibatkan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang menjejaskan ketua PKR itu.

Lebih memberi poin politik kepada Umno ialah tindakan Anwar dan partinya berdiam diri, atau tidak bercakap selantang pihak lain terutama rakannya dalam PR, PAS.

Pada masa sama, Umno dan penentang Anwar menimbulkan kembali satu kenyataan Anwar berhubung homoseksualiti yang menegaskan golongan itu tidak sepatutnya didiskriminasi, kenyataan yang boleh dibaca sebagai pendirian yang mesra gay.

Sebagai parti berideologi liberal, PKR tidak dapat memperlihatkan penentangan terhadap gaya hidup itu, untuk mengelakkan daripada kelihatan bermuka-muka atau membelakangi perjuangan hak asasi manusia.

Tahun ini juga menyaksikan tindakan tegas oleh pihak polis dan pemerintah terhadap acara kempen gay itu, yang disebabkan profil lebih tinggi dinikmati acara itu ekoran perhatian ramai ekoran kaitannya dengan pembangkang.

Hal ini telah memberi modal kepada PAS untuk mengalihkan tumpuan kepada kerajaan Barisan Nasional dikuasai Umno, dengan menyatakan pemerintah membiarkan acara itu berlangsung sebelum ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dilapor berkata pemerintah membenarkan acara itu berjalan sebelum ini, dalam satu kenyataan yang dilihat sebagai usaha mengalihkan tumpuan kepada Umno.

Hakikatnya, sejak 2008, acara itu diadakan secara tidak terbuka, tidak seperti tahun ini yang melibatkan kempen meluas melalui media baharu.

PAS sendiri hanya mula menyatakan penentangan secara lantang pada tahun ini, sama seperti Umno yang didakwa berdiam diri itu.

Sebelum Mahfuz, Salahuddin Ayub, seorang lagi naib presiden memulakan usaha mengalih perhatian daripada PAS kepada pihak lain dengan mengaitkan Majlis Fatwa Kebangsaan, yang dalam kenyataannya didesak mengeluarkan fatwa menghalang acara itu.

Dewan Muslimat PAS turut melakukan usaha yang sama, dengan menyatakan kerajaan hanya bertindak terhadap Seksualiti Merdeka kerana acara tahun ini melibatkan Ambiga.

Dalam keadaan defensif dan terdesak menyelamatkan diri, PAS - kecuali Dewan Pemuda yang mengeluarkan kenyataan lebih jelas dan tegas - telah terlibat dalam satu permainan politik murahan dengan kenyataan-kenyataan itu, yang bermatlamat sekadar menyelamatkan diri dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain.

Sebenarnya PAS hanya perlu menyatakan pendirian yang tegas dan jelas berhubung isu itu, tanpa memperlihatkan keadaan terdesak dan bermain politik dengan mengalihkan perhatian kepada pihak lain dengan cara yang tidak sewajarnya.

Isu yang menyentuh sensitiviti dan maruah umat itu kelihatan telah dibiarkan berlalu dengan hanya memberi perhatian kepada unsur politik kepartiannya.

PAS, sebagai contoh, boleh menjawab dengan menegaskan sokongan kuat untuk usaha reformasi pilihan raya, dengan tidak menjadikan Ambiga atau sesiapa sahaja sebagai isu. Sokongan untuk Bersih 2.0 boleh ditegaskan sebagai sokongan kepada usaha membersihkan proses pilihan raya dan bukan sokongan untuk Ambiga.

PAS telah terpalit dengan implikasi negatif acara itu disebabkan hubungan parti itu dengan Ambiga. Hal ini tidak dapat dielakkan walaupun hubungan seperti itu tidak cukup untuk membuktikan perkongsian pandangan tentang sesuatu isu.

Tetapi umum mengakui bahawa persepsi mempunyai pengaruh yang besar dalam medan politik, dan boleh menjadi cukup untuk dijadikan asas pembuatan keputusan sesetengah ahli masyarakat.

PAS perlu mengambil pengajaran daripada episod ini, dengan menyiapkan pendirian tegas dalam pelbagai isu mencabar dalam suasana yang disebut "politik baharu" masa kini.

Isu hak asasi manusia yang terkandung di dalamnya orientasi seksual, hak beragama dan mengamalkannya dan banyak lagi hal yang divisif akan menjadi satu topik besar dalam politik tempatan.

Semua pihak, sama ada pembangkang atau pemerintah tidak akan dapat lari daripada perdebatan isu kritikal tersebut.

Suasana semasa, dan pada masa akan datang, akan menyaksikan pertembungan lebih terbuka dan getir melibatkan pandangan dunia dipegang oleh PAS dan pihak lain, melibatkan pelbagai jenis ideologi dan falsafah.

PAS, atau mana-mana parti politik tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak dengan bercakap dalam pelbagai bahasa yang berbeza kepada kelompok yang berbeza.

Sesebuah parti boleh mempunyai elemen yang lebih liberal atau lebih konservatif secara relatif berbanding arus perdana parti, tetapi tidak akan dapat diterima sepenuhnya oleh dua kumpulan yang ekstrem pertentangannya.

Dalam hal-hal yang kritikal melibatkan pegangan utamanya sebagai sebuah parti Islam seperti yang dijelaskan dalam perlembagaan, PAS perlu menzahirkan pendirian dengan tegas.