Wednesday 2 November 2011

Pemuda PAS, Elton John dan tuntutan hak gay


Pemuda PAS sekali lagi terlibat dalam debat panas melibatkan golongan gay ekoran kecaman sayap parti Islam itu terhadap konsert penyanyi gay Elton John.

Pemuda PAS dikritik bekas mufti Perlis yang popular, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai tidak bersikap matang dalam hal ini dan berkecenderungan seperti Taliban yang pernah menguasai pemerintahan Afghanistan.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan mengecam pandangan Asri itu yang disifatkan keterlaluan kerana cuba menyamakan PAS dengan Taliban yang menggunakan pendekatan keras.

Pemuda PAS mengambil sikap menolak hiburan yang dianggap membawa unsur negatif terutama kepada masyarakat Muslim Malaysia, dan giat menyatakan pandangan ini, menyentuh hasil seni popular termasuk filem.

Selain PAS, konsert penyanyi gay itu turut dikecam oleh Ikatan Muslimin Malaysia, Isma, yang memberi peringatan tentang usaha menyebarkan gaya hidup gay di Malaysia.

Tentangan Pemuda PAS terhadap konsert Elton John yang dijadual hujung November di Genting Highlands, Pahang, ialah yang kedua mencetuskan berita besar di negara ini berhubung isu gay, selepas bantahan konsert Adam Lambert tahun lalu.

Malaysia mendapat perhatian ekoran debat yang dicetuskan oleh pertembungan yang disebabkan oleh kebangkitan gay masa kini.

Mac lalu, penyanyi Lady Gaga mengkritik penapisan lagu tema gay nyanyiannya, Born This Way, dan menggesa peminatnya bangkit menyatakan bantahan.

"Anda mesti lakukan segala yang termampu sekiranya mahu dibebaskan oleh masyarakat anda, anda mesti mendesak, jangan berhenti dan mesti memprotes secara aman," penyanyi itu dilapor berkata.

Ogos lalu, seorang paderi gay berasal dari Malaysia, Ouyang Wen Fang yang menetap di Amerika Syarikat berkata akan mengadakan majlis perkahwinannya dengan seorang lelaki warga AS di Malaysia tahun depan, walaupun berdepan kecaman dan amaran.

Malaysia menyaksikan peningkatan aktiviti golongan gay dan kecenderungan seksual lain - yang diistilahkan sebagai LGBT; lesbian, gay, biseksual dan transgender - sejak beberapa tahun lalu, sebagai sebahagian peningkatan kesedaran terhadap hak asasi manusia yang bersumber Barat.

Salah satu aktiviti paling terbuka ialah Seksualiti Merdeka, acara tahunan melibatkan forum, ceramah dan pelbagai aktiviti seni yang diadakan secara konsisten sejak 2008.

Acara ini yang merupakan platform golongan gay menyebarkan publisiti tentang mereka dan menegaskan tuntutan hak mendapat sokongan pelbagai kumpulan, termasuk Majlis Peguam, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Tenaganita dan Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO).

Tahun ini, "pesta kebebasan seksualiti" ini dijadual diadakan pada 1 hingga 13 November di Pasar Seni, dengan perasmian oleh Datuk Ambiga Sreenevasan, aktivis hak asasi yang dipopularkan oleh himpunan Bersih 2.0 pada Julai lalu.

Acara yang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran hak kebebasan seksual itu pada tahun ini bertema Queer Without Fear, sebagai ekspresi menentang apa yang disifatkan sebagai homofobia dan diskriminasi terhadap golongan itu oleh masyarakat.

"Rakyat Malaysia kelihatan berani sejak beberapa tahun lalu. Kita telah menuntut pilihan raya yang bebas, keadilan, demokrasi. Ingatlah demokrasi bukan hak milik majoriti sahaja, atau yang berkuasa, atau yang paling lantang. Demokrasi milik semua," tegas gerakan itu sebagai kenyataan sempena Seksualiti Merdeka 2011.

Hal ini telah menampakkan implikasi yang luas, terutama melibatkan pertembungan kelompok konservatif dan liberal yang kini dapat diperhatikan bukan hanya dalam ruang politik.

Elemen gay kini semakin mudah kelihatan dalam budaya popular, termasuk karya-karya sastera, filem dan seni persembahan.

Perkembangan ini bakal menjadi satu isu kritikal dalam sosio-politik negara, menyaksikan pertembungan lebih keras dan menampakkan lagi kecenderungan ideologi dalam medan politik negara.

No comments:

Post a Comment