Saturday 10 December 2011

Prinsip yang perlu ada dalam Al-Quran

Pertama - Belajar

Belajar Al-Quran di sini bukannya sahaja merangkumi aspek kualiti bacaan seperti taranum, tajwid dan Qari. Tetapi mempelajari apa yang terkandung di dalam isi-isi Al-Quran serta mempelajari perkara-perkara yang boleh menjadikan ia sebagai pengisisan rohani dan jiwa dan penambahan kekurangan ilmu. Ketahuilah bahawa beruntungnya orang yang mempelajari Al-Quran daripada orang yang mempelajari ilmu yang tidak membawa apa-apa kepentingan diri..

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW berabda : "Tidaklah orang ynag berkumpul pada salah satu rumah di antara rumah-rumah Allah dengan membaca Kitab Allah dan memperdalamnya melainkan akan turunlah kepada suatu ketenangan dan mereka sentiasa diliputi rahmah serta para malaikat sentiasa memohon ampun buat mereka lagi pula Allah menyebut-nyebut mereka kepada siapa sahaja yang berada di sisinNya". (Hadis Riwayat Imam Muslim) - Rujukan, Riyadus Solihin karangan Imam Nawawi jilid 2 bab "Berkumpul untuk membaca dan mempelajari Al-Quran" no. 1023 m/s 538

SubhanAllah. Sungguh hebat ganjarannya bagi sesiapa yang mempelajari Al-Quran dan mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Jangan hanya mempelajari ilmu tajwid, taranum atau Qari sahaja tanpa ilmu lain yang bersaudara dengan Al-Quran kerana engkau belum tentu mengerti ayat-ayat yang diungkapkan oleh Allah SWT beserta menjadikan ayat-ayatNya sebagai teman rapatmu dan kalimah-kalimah yang akan senantiasa menjadi sebutan dalam kehidupan harianmu.



Kedua - Mengajarkannya kepada orang lain.

Daripada Uthman bin Affan RA, Nabi Muhammad SAW bersabda : "Orang yang terbaik daripada kalangan kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarnya". (Hadis Riwayat Imam Bukhari) - Rujukan, 300 Hadis Bimbingan karya Zahazan Mohammed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam bab "Kelebihan Al-Quran dan ahlinya" no.94 m/s 71

Ajarkanlah Al-Quran itu kepada keluargamu atau teman rapatmu atau saudara-saudaramu kerana mereka yang mengajar itulah golongan yang terbaik daripada golongan yang hanya menjadi Al-Quran sebagai hiasan rumah dan hanya tahu membaca tetapi di dalam hatinya tidak hadir untuk memahami atau mengetahui ayat-ayat Allah. Janganlah engkau simpankan pengetahuan Al-Quran kamu hanya untuk kepentingan diri sendiri sahaja tanpa mempedulikan kekurangan orang lain dan kejahilan mereka itu. Kongsikanlah ia kepada orang lain agar kamu mendapat manfaat dan mendapat kebaikan yang tiada tandingannya di sisi Allah SWT.

Ketgia - Membaca Al-Quran

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-'Ankabut (29) ayat 45 iaitu "Bacalah Kitab (Al-Quran) yang telah diwahyukan kepadamu (oleh Nabi Muhammad)......."

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Kahfi (18) ayat 27 iaitu "Dan bacakanlah (wahai Muhammad) apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Kitab Tuhanmu (yakni Al-Quran), tidak ada yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya, dan kamu tidak dapat menemukantempat berlindung selain daripadaNya".



Inilah yang amat dituntut. Bacalah Al-Quran di waktu kamu lapang dan di saat kamu merasai kemanisan iman serta perdengarkanlah bacaanmu kepada orang lain. Janganlah kamu remukkan hatimu dengan menjauhi Al-Quran dan membiarkan Al-Quran itu hanya mengisi di rak buku yang masih mempunyai ruang kosong. Ambillah kitabullah dan bacalah kerana ianya adalah kitab yang teragung yang terkandungnya kalimah-kalimah yang tiada tandingan hebatnya, keluasan lautan ilmu dan mengandungi ayat-ayat yang mengisi roh, jiwa dan rohani seorang insan yang hatinya penuh dengan kehausan serta kebuluran.

Daripada Abu Umamah al-Bahili RA, Nabi Muhammad SAW bersabda : "Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada golongannya". (Hadis Riwayat Imam Muslim) - Rujukan, - Rujukan, 300 Hadis Bimbingan karya Zahazan Mohammed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam bab "Kelebihan Al-Quran dan ahlinya" no.93 m/s 71

Bacalah ia dengan penuh kelancaran tajwid dan suara yang indah didengar oleh para pendengar yang duduk di sebelahmu serta bacalah dengan penuh khusyuk dan fahamilah apa yang Allah SWT sampaikan. Ingatlah! Bacaan Al-Quran yang indah mampu mengisi cintamu pada Al-Quran dan mendekatkan diri pada Allah yang Maha Esa serta menenangkan jiwa-jiwa yang sentiasa kehausan dan menyucikan hati yang penuh dengan kekotoran maksiat dan menghapuskan hawa nafsu yang bangkit membara.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda : "Bukanlah daripada golongan kami (iaitu) orang yang tidak melagukan Al-Quran". (Hadis Riwayat Imam Bukhari) - Rujukan, 300 Hadis Bimbingan karya Zahazan Mohammed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam bab "Kelebihan Al-Quran dan ahlinya" no.96 m/s 72

Keempat - Memahami Al-Quran.

Ketika anda membacanya, fahamilah apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan hayatilah segala ayat-ayat Allah dengan penuh khusyuk. Keseronokan anda akan lenyap begitu sahaja ketika membaca Al-Quran apabila anda tidak mengerti apa-apa yang Allah sampaikan kepada kita. Malah, kita tidak akan merasai nikmat kemanisan iman saat ketika kita membaca Al-Quran kerana hatinya penuh dengan kekosongan kerana jiwanya tidak dapat menangkap kefahaman yang bertebaran di dalam kitabullah.

Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda : "Sesungguhnya orang yang dalam hatinya tidak ada sesuatu apa pun dari Al-Quran, maka dia adalah seperti rumah yang kosong". (Hadis Riwayat Imam Tirmizi - beliau mengatakan bahawa ini adalah hadis hasan sahih) - Rujukan, Rujukan, Riyadus Solihin karangan Imam Nawawi jilid 2 bab "Fadhilat Membaca Al-Quran" no. 1000 m/s 528.

Sampai bila kita hanya membaca Al-Quran sahaja tetapi hatinya tidak mengerti apa-apa?. Maka dengan itu, berusahalah untuk mencari kompas dalam mencari arah kefahaman dan jalan untuk mengisi kekuatan jiwa supaya dapat menangkap  kefahaman yang bersepah di dalam Al-Quran. Pelajarilah dan dalamilah ilmu Al-Quran agar kamu mengerti apa yang kamu baca dan menghayati ayat-ayatNya serta dapat mengisi roh, jiwa dan hati yang penuh dengan kelaparan dan kehausan.



Kelima - Mengamalkannya

Apabila anda telah mempelajari, mengajari, membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran, maka amalkanlah ilmu yang telah ada di dalam hati anda. Buktikan diri anda bahawa anda adalah Ahlul Quran dan hamba yang cinta akan Al-Quran dengan mengamalkan segala yang terkandung dalam Kitab Al-Quran. Perkataanmu janganlah bertentangan dengan perbuatanmu!. Ikutilah Al-Quran sepenuhnya kerana itulah amalan yang dapat membuka pintu syurga untukmu dan mendapat pengiktirafan yang tertinggi daripada Allah SWT. Berapa ramai yang membaca Al-Quran tetapi Al-Quran sendiri yang melaknatinya!.

Daripada Anas bin Malik RA, Nabi Muhammad SAW bersabda : "Sesungguhnya Allah mempunyai ahli daripada kalangan manusia". Para sahabat bertanya : "Wahai Rasulullah! Siapakah mereka itu?". Baginda bersabda : "Merekalah ahli Quran iaitu ahli Allah dan golongan pilihanNya". (Hadis Riwayat Ibnu Majah) - Rujukan, 300 Hadis Bimbingan karya Zahazan Mohammed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam bab "Kelebihan Al-Quran dan ahlinya" no.92 m/s 71

Tahukah engkau siapakah itu ahli Quran? Ya! Mereka itulah golongan yang menghafal Al-Quran, banyak membaca Al-Quran dan beramal dengannya. Mereka inilah yang akan menjadi ahli Allah yakni para wali Allah dan golongan yang mendapat pilihan yang istimewa daripada Allah. Maka dengan itu, jadikanlah ia sebagai kompas untuk keluar dari jalan yang sesat dan cahaya yang menerangi kegelapan hati serta GPS yang memandu kamu ke arah kecemerlangan hidup. Akhlakmu hendaklah mencontohi Rasulullah SAW seperti yang telah Aisyah RA nyatakan iaitu "Akhlak Rasulullah SAW adalah Al-Quran". Hiasilah akhlakmu dan percantikkanlah peribadimu dengan berdasarkan Al-Quran agar kamu menjadi insan sejuk dilihat oleh mata yang memandang dan dapat mematahkan fitnah-fitnah para munafiqun dan kafirun yang dilontarkan terhadapmu.

Maka dengan itu, peganglah lima prinsip ini sekuat-kuatnya biarpun ianya panas membakar kulis, pahit di rasa hati dan berat untuk dipikul oleh jasad. Percayalah! Bahawa prinsip inilah yang mengangkat martabatmu dan mendapat darjat yang tertinggi di sisi Allah. Istiqamahkanlah sehinggalah ke kubur agar amalan anda menjadi bekalan apabila anda di akhirat kelak. InsyaAllah..

No comments:

Post a Comment