Tuesday 3 January 2012

Momentum revolusi politik global

KEBANGKITAN rakyat, protes, revolusi menjadi buzzwords sepanjang setahun lalu, apabilhttp://gbgerakbudaya.com/bookshop/images/books/9789833172382.jpga dunia menyaksikan rakyat di seluruh dunia, dari Eropah ke Afrika Utara hingga ke Asia Tenggara bangkit memprotes dan menuntut hak demokratik mereka sebagai rakyat.
Tiga diktator, Presiden Tunisia Zine al-Abidine Ben Ali, Presiden Mesir Hosni Mubarak dan pemimpin Libya Kolonel Muammar Gaddafi, tumbang akibat kemarahan rakyat, manakala ramai lagi menunggu dalam ketakutan akan nasib mereka berhadapan kuasa rakyat.


Domino-domino yang tumbang di rantau Afrika Utara dan Asia Barat mencetus satu trend global baru yang sedang dan akan terus memberi kesan kepada kerajaan-kerajaan seluruh dunia, tidak terkecuali Malaysia.
Tulisan dalam buku Revolusi Global: Dunia Dalam Era Kebangkitan Rakyat oleh Haris Zalkapli terbitan Harakah mempersembahkan bagaimana jumlah generasi muda yang semakin meningkat, terutama di Afrika Utara dan Asia Barat, dan semakin ramai yang menerima pendidikan tinggi peringkat universiti sehingga membolehkan generasi muda ini mempunyai kesedaran terhadap politik dan perkembangan di sekeliling mereka.
Generasi muda sememangnya sentiasa mendepani perubahan. Inilah yang kita di Malaysia ini juga harapkan, untuk melihat perubahan yang bermakna terlaksana.
Ini sangat relevan dengan apa yang kita di Malaysia ini saksikan sejak lama dulu, dan juga sejak kebelakangan ini apabila gerakan mahasiswa semakin berani dan lantang menyuarakan pandangan politik mereka.
Kita dapat perhatikan bagaimana mahasiswa kini bangkit menolak Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) tanpa menghiraukan tekanan pihak yang sudah selesa dengan kuasa dan tidak mahu golongan muda yang kritis, cergas dan responsif itu bebas daripada belenggu peraturan yang tidak adil.
Golongan muda juga terlibat dalam lapangan politik dalam keadaan prasarana seperti teknologi maklumat telah tersedia untuk mereka gunakan. Seperti kata seorang bekas penasihat kerajaan Amerika Syarikat, Zbigniew Brzezinski yang dipetik dalam Revolusi Global, sepanjang sejarah, warga dunia kini berada dalam keadaan paling sedar politik dan interaktif, sedia memberi respons kepada perkembangan politik yang menyentuh mereka.
Malaysia di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak telah menyaksikan gelombang rakyat dalam perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Jelas dapat kita perhatikan kebimbangan dan keresahan kerajaan Barisan Nasional menghadapi gelombang kebangkitan rakyat itu, hingga berlaku tindakantindakan yang tidak rasional dan keras terhadap rakyat yang memprotes.

Kebimbangan keterlaluan kerajaan BN itu jelas sekali tidak berasas, kerana Pakatan Rakyat telah menegaskan proses pilihan raya sebagai pilihan. Protes yang diadakan bukan sama sekali bertujuan menjadikan suasana di negara kita seperti protes di dunia Arab.
Inilah yang disebut oleh seorang sarjana sebagai “globalisasi protes”, yakni keadaan protes menjadi perkara biasa dan sebahagian proses politik, dalam menuntut hak dan juga melawan korupsi dan kezaliman rejim.
Maka akibatnya, pemerintah tidak boleh lagi bersikap senang lenang dan menganggap kedudukan mereka sebagai pemerintah itu satu anugerah dan privilege. Landskap baru politik dunia hari ini menyaksikan mana-mana kerajaan tidak terlepas daripada trend global yang tercetus di dunia Arab sejak setahun lalu di Tunisia.
Seperti disebut dalam buku Revolusi Global, realiti ekonomi dunia, dengan harga pelbagai bahan makanan yang terus meningkat menjadi satu faktor penting dalam mencetus respons rakyat terhadap para pemerintah.
Atas sebab inilah, kita dapat lihat kerajaan BN berusaha memberi pelbagai habuan dan janji yang diberikan nama bantuan untuk rakyat, yang tidak dapat tidak terkait dengan Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka beberapa bulan lagi.

Ini jelas sekali menampakkan kebimbangan kerajaan BN pimpinan Najib. Masa bantuanbantuan ini diberikan memberi gambaran kebimbangan BN dan usaha mereka menarik kembali sokongan dengan memberi bantuan.
Diktator-diktator telah tumbang di dunia Arab. Lebih dekat dengan kita, perubahan politik dan pentadbiran juga berlaku Myanmar, negara yang sangat ketat kawalan kerajaan tentera terhadap politik sejak lama dulu.
Di negara jiran kita Singapura, rakyat turut bangkit, sehingga pemerintahan PAP yang seusia BN di negara kita dan tidak mendapat saingan pembangkang selama ini juga menyaksikan pembangkang yang semakin kuat dan mendapat sokongan.
Hakikatnya, dunia politik kini sudah berubah. Protes dan perubahan kerajaan, walau sekuat mana pun kerajaan itu, bukan lagi sesuatu yang sukar atau mustahil. Rakyat semakin menyedari kuasa yang mereka miliki.
Revolusi Global ini memberi satu gambaran besar tentang trend semasa seluruh dunia ini, yang tidak mengecualikan manamana kerajaan pun. Terutama yang telah puluhan tahun memerintah negara!

No comments:

Post a Comment