Tuesday 17 January 2012

Pakatan Rakyat, undi Melayu dan Putrajaya


Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua pembangkang dan calon perdana menteri Pakatan Rakyat muncul di konvensy

Dengan tema "Bersihkan Malaysia," pemimpin-pemimpin parti gabungan juga mengenakan baju putih - yang melambangkan kebersihan dan kesucian - satu penegasan misi menjatuhkan Barisan Nasional di peringkat pusat dengan segera untuk digantikan dengan parti-parti yang mendakwa lebih bersih.

Walau bagaimanapun, secara keceluruhan, konvensyen ketiga PR di Alor Setar hujung minggu lalu masih membawa isu-isu yang sama, tanpa penegasan terbaharu dan gambaran masalah bersama sedang diselesaikan.

Beberapa laporan dan komentar media liberal turut memberi perhatian terhadap isu ini, antaranya menyifatkan konvensyen kali ini sebagai hanya bunyi tanpa isi.

Apa yang diperkatakan dalam konvensyen kali ini amat menarik sekiranya muncul daripada konvensyen pertama atau kedua, tetapi selepas beberapa tahun PR wujud sebagai satu aliansi, mesej yang disampaikan semakin memenatkan.

Buku jingga yang dikemukakan pada konvensyen yang lalu semakin tercabar oleh tindakan-tindakan pemerintah, termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA.

Istilah menarik perhatian seperti "Putrajaya" semakin hilang nilainya, selepas kegagalan projek 16 September dan realiti yang semakin menampakkan betapa sukarnya untuk mencapai matlamat itu, apatah lagi bersatu selepas itu untuk menubuhkan kerajaan pusat dan meneruskan perjalanan dari situ.

Ekoran pelbagai isu seperti video seks, perbicaraan Anwar dan pertelingkahan dalaman antara parti terutama di Selangor, kebolehlaksanaan PR sebagai calon pemerintah pusat semakin teruji, walaupun PR kini satu-satunya pencabar BN yang kredibel dan wujud sebagai satu pakatan.

Mesej yang dibawa sejak 2008 ialah PR lebih baik berbanding BN, yang dikemukakan dalam pelbagai variasi termasuk yang terbaharu, "Bersihkan Malaysia."

Isu Melayu yang menjadi kebimbangan berasas sesetengah pihak masih tidak ditangani dengan baik. Simbol lokasi konvensyen di Alor Setar, negeri Melayu ditandir PAS juga kelihatan tidak dapat pergi lebih jauh daripada itu.

Di Selangor, penentang PR memperolehi senjata baharu dengan pemecatan Datuk Dr Hasan Ali daripada PAS, yang kemudian digugurkan daripada jawatan exco dan diganti segera sebelum tamat tempoh rayuan.

Dari sudut persepsi, Hasan kini dimunculkan sebagai mangsa ekoran perjuangannya menangani isu arak, maksiat dan penyebaran Kristian terhadap orang Muslim di Selangor.

Walaupun kalangan penyokong PAS mungkin sebahagian besarnya tidak melihat isu Hasan semudah itu, kesannya terhadap pengundi Melayu atas pagar tidak boleh diremehkan.

Akhbar Umno Utusan Malaysia juga meneruskan kempen negatif terhadap Anwar, terbaharu dengan menimbulkan isu sokongan beliau terhadap hak homoseksual.

Anwar dalam satu wawancara dengan agensi berita Associated Press mengatakan undang-undang berkenaan seks gay di negara ini sebagai telah ketinggalan zaman, pandangan yang sebelumnyadikemukakan oleh Human Rights Watch.

Selepas dibebaskan oleh mahkamah, Anwar mengulangi pendiriannya dalam satu wawancara dengan badan penyiaran Inggeris, BBC, yang menarik perhatian banyak pihak di negara ini.

Isu undi Melayu tidak dapat dielakkan oleh PR yang semakin mudah dikaitkan dengan dominasi parti dan agenda yang tidak mesra Melayu.

Setakat ini, belum muncul tanda-tanda jelas untuk menentang dan menjawab persepsi itu, yang kelihatan semakin berjaya dieksploit oleh musuh-musuh PR.

No comments:

Post a Comment