Wednesday, 28 December 2011

Dilema PAS hadapi Hasan Ali


Bekas pemimpin PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali telah membalas kembali dakwaan-dakwaan yang dilemparkan kepadanya oleh Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.

Hasan bukan sahaja menafikan tuduhan menemui pemimpin Umno malah menuduh Mustafa yang sebenarnya melakukan pertemuan seperti itu.

Isu pertemuan dengan pemimpin Umno -malah dengan mufti yang dilihat pro-Umno - menjadi isu sensitif dalam PAS sejak pilihan raya 2008.

Pertemuan seperti itu dilabel sebagai usaha berbaik atau bersatu dengan parti pesaing utama PAS itu, yang bersaing merebut undi Melayu Muslim.

Kekecohan di media berhubung Hasan tercetus ekoran kenyataan Saari Sungib, bekas ahli PKR yang kini memegang jawatan ketua penerangan PAS Selangor yang memberi gambaran Hasan tidak akan dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 kerana ditolak ahli akar umbi.

Saari walau bagaimanapun tidak mendapat perhatian selepas tercetus kekecohan, apabila tumpuan ditujukan pada Hasan dan Nasharudin Mat Isa, bekas timbalan presiden.

Kedua-dua Hasan dan Nasharudin dituduh mahu menyertai Umno ekoran perselisihan pendapat dengan pandangan popular dalam parti. Kedua-duanya juga tidak popular dengan media parti.

Hasan walau bagaimanapun mempunyai kelebihan tersendiri, terutama di Selangor ekoran populariti beliau dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa mengira kesetiaan parti.

Walaupun telah diturunkan dari kedudukan pesuruhjaya negeri, Hasan masih mempunyai pengaruh di dalam dan luar parti, dan terus membinanya hasil daripada kontroversi yang dilaluinya selama ini.

Tindakannya memohon maaf kerana menyerang gagasan negara berkebajikan yang dipersetujui parti mampu memperbaiki sikap ramai terhadapnya, dan memperlihatkan beliau sebagai ikhlas.

Kecamannya terhadap ide negara berkebajikan menyebabkan pihak yang sebelum itu menyokongnya terutama kepimpinan pemuda, berundur dan menegaskan sokongan terhadap program parti itu.

Kontroversi melibatkan Hasan, pertama kali dalam kes gereja di Damansara Utama, Selangor, telah memberi kesan kepada PAS disebabkan cara isu itu ditangani yang kelihatan berdasarkan perkiraan politik semasa menjaga undi bukan Muslim.

Tekanan terhadap Hasan memudahkan permainan musuh parti yang mengaitkan layanan terhadap exco negeri Selangor itu sebagai akibat sikap yang membela kepentingan umat Muslim, antaranya isu kawalan penjualan arak.

Pendirian Hasan dalam hal berkaitan ditentang hebat oleh DAP dan pemimpin PAS lain yang dilihat terlalu menjaga hati kaum bukan Muslim.

Layanan terhadap Hasan - dan juga Nasharudin - dikemukakan oleh Umno terutamanya sebagai bukti sikap yang tidak selari dengan DAP dan tuntutan bukan Muslim akan mendatangkan akibat buruk, yang dikenakan oleh parti Islam itu sendiri.

Episod ini memberi kesan kepada undi Melayu, terutama di negeri Selangor, selain mendedahkan lagi kecelaruan dalaman PAS dalam menghadapi politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-12 bersama gabungan pembangkang PR.

Bahasa, sekolah kebangsaan teras nasionalisme


Oleh ARIF ATAN

Ada pihak menganggap semangat kebangsaan atau nasionalisme adalah ‘asabiyyah sehinggga dilabelkan bercanggah dengan Islam kerana dikaitkan dengan asal-usul dari dunia Barat.
Namun, salah faham ini sudah dijelaskan oleh Dr Burhanuddin Helmy yang pernah memegang jawatan presiden PAS pada 25 Disember 1956.
Dalam bukunya, Falsafah Kebangsaan Melayu (1954) beliau menegaskan bahawa fahaman kebangsaan Melayu yang dianjurkannya bukan bersifat perkauman, fanatik atau ‘asabiyyah jahiliyyah yang sempit tetapi bertujuan untuk “memelihara dan menghidupkan hak kebangsaan Melayu bertaraf duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa atau kebangsaan yang lain di dunia ini.”
Justeru, dalam realiti sosial Malaysia pada dekad pertama kurun ke-21 ini, kedudukan nasionalisme perlu jelas difahami baik di pihak parti politik Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR).
Bezanya, hari ini lebih tepat lagi bermula sejak orang bukan Melayu memperoleh taraf kerakyatan warganegara ini menjelang kemerdekaan lalu bukan lagi nasionalisme Melayu seperti yang pernah diperkatakan oleh Burhanuddin sebaliknya nasionalisme Malaysia.
Ini selari dengan kenyataan Rustam A Sani dalam bukunya, Ke Mana Nasionalisme Melayu? bahawa realiti politik pasca-kolonial telah menyebabkan nasionalisme Melayu berubah namun diteruskan dalam kerangka negara-bangsa Malaysia.
Persoalannya, adakah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak di bawah “mantera” 1 Malaysia (sepatutnya disebut “satu” bukan “one” seperti yang lazim disebut orang) telah berusaha mencapai nasionalisme Malaysia yang tetap tidak menafikan asas-asas kenegaraan dan nasionalisme yang berteraskan Melayu?
Dari segi keutamaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang bermaruah di negara ini, kita dapat saksikan taraf bahasa milik semua rakyat Malaysia ini bagai disepak tidak dipeduli. Padahal, sentimen bernegara satu seperti yang diteriakkan dalam 1 Malaysia itu mestilah bersandarkan Satu Bahasa (boleh ditulis 1 Bahasa?) kerana bahasalah alat utama pengukuhan semangat nasionalisme mana-mana negara bangsa di dunia ini.
Najib sendiri dan sebahagian pemimpin dalam BN termasuklah sebahagian pemimpin PR terutama dari DAP seperti berasa hina diri (inferiority complex) untuk berucap dalam bahasa Melayu di majlis rasmi atau memberi maklum balas terhadap temuramah bersama pihak media.
Selanjutnya gejala bapak borek anak rintik pun berlanjutan dalam segenap bidang hidup bernegara. Bahasa kebangsaan bukan bahasa ilmu di peringkat pengajian tinggi dan bahasa utama dalam majlis atau acara rasmi jabatan/agensi kerajaan.
Pihak berkuasa tempatan pun kini sudah tidak kisah meluluskan sahaja penamaan kawasan pembangunan atau taman perumahan dengan nama asing hinggalah kepada tindakan zalim terhadap bahasa kebangsaan dalam penerbitan iklan termasuk dari Petronas sendiri; fi’il bercakap yang celaru di kalangan artis tempatan; lambakan program tv dalam pelbagai bahasa asing yang tidak dialihsuarakan seperti amalan lazim negara luar; tulisan bahasa Melayu yang kecil saiznya dan kabur pada papan-papan iklan serta pengumuman nombor giliran atau pilihan bahasa pada mesin ATM di sebahagian bank dan banyak lagi.
Justeru, penekanan terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa perhubungan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan perlu benar diberi tumpuan jika kita tidak mahu nasionalisme rakyat Malaysia terus rebah menyembah bumi.
Dalam masa sama, unsur-unsur simbolis nasionalisme sebagai ciri asasi negara Malaysia perlu diuar-uarkan. Persekitaran harus dijana membangkitkan rasa kebersamaan antara rakyat tanpa mengira warna kulit melalui ikatan bahasa kebangsaan tadi.
Sistem pendidikan Malaysia terutamanya tidaklah boleh dibanggakan selagi tidak wujud sekolah satu aliran. Ironi sekali dalam kita bersungguh-sungguh melaung 1 Malaysia tetapi di sini jugalah ada “jenis-jenis” sekolah kebangsaan mengikut kaum!
Apa semua ini!? Iltizam politik sama ada dari BN mahupun PR mesti tegas dalam hal ini kerana kewujudan pelbagai aliran sekolah hanya akan mudah dieksploitasi untuk kepentingan politik yang berkiblatkan republik China dan negara India.
Tidak mustahil PR jika diizinkan Tuhan memerintah Malaysia kelak akan berdepan dilema sama seperti BN hari ini yang terpaksa mengikut sahaja kehendak sekolah vernakular atas kepentingan politik kepartian.
Jelas, aspek bahasa kebangsaan dan sekolah kebangsaan adalah dua alat utama mengukuhkan rasa nasionalisme yang patut dimulakan sekarang sebelum sembilan tahun lagi tibanya sasaran taraf Malaysia maju menjelang tahun 2020.

Pena, Interlok dan politik pilihan raya


Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Pena, menyambut ulang tahun ke-50 dengan diringi berita penarikan semula novel Interlok sebagai sebuah teks sastera di sekolah.

Tentangan sesetengah pihak daripada kaum India terhadap penggunaan novel itu dalam pengajaran sastera di sekolah akhirnya berjaya ekoran pengumuman kerajaan baru-baru ini.

Masa pengumuman ini dibuat dikaitkan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 dan usaha Barisan Nasional memenangi undi kaum India, yang memberi undi dalam jumlah yang besar kepada pembangkang dalam pilihan raya umum sebelum ini.

Berita berhubung Interlok itu ialah tamparan terbaharu kepada pejuang bahasa Melayu selepas perjuangan menentang dasar pendidikan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak mencapai matlamat.

Walaupun selepas desakan kuat penentang PPSMI, kerajaan mengumumkan dasar itu hanya akan ditamatkan pada 2016 untuk sekolah rendah dan 2021 untuk sekolah menengah, masa yang bermakna dasar itu akan terus berjalan untuk hampir 10 tahun lagi.

Permainan politik pemerintah jelas kelihatan dalam menguruskan kemarahan pejuang bahasa terhadap pengumuman terbaharu yang bakal mencetuskan reaksi keras itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang menghadiri makan malam majlis sambutan 50 tahun Pena semalam mengumumkan bantuan bernilai RM5 juta untuk penerbitan buku termasuk karya penulis muda dan RM1 juta untuk memulihkan Rumah Pena, tindakan yang dilihat ramai sebagai gula-gula pilihan raya.

Najib, pada masa sama, turut merasmikan program besar Pena, iaitu Perhimpunan Penulis Muda Nasional ketiga yang diadakan di Kuala Lumpur selama dua hari bermula hari ini.

Pena berada di barisan hadapan dalam mempertahankan Interlok sebagai teks sastera sekolah dan mendesak pemansuhan PPSMI, dasar yang dimulakan pada tempoh hujung pentadbiran Mahathir.

Tindakan pemerintah berundur dalam isu Interlok menambahkan lagi kritikan terhadap gagasan 1 Malaysia yang didakwa lebih berkecenderungan liberal dan mengabaikan kepentingan Melayu.

Penarikan Interlok ini juga berpotensi mendedahkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada lebih banyak kritikan pejuang bahasa.

Muhyiddin sebelum ini menunjukkan pendirian agak tegas dalam isu Interlok, sikap yang lebih disenangi pihak pejuang bahasa.

Selain pejuang bahasa, kedua-dua isu turut menjadi isu penting yang dijadikan modal politik oleh parti-parti pembangkang terutama PAS.

Game changer?: Selebriti dan parti politik


2. Selebriti dan kempen politik

Sasterawan A Samid Said kini menjadi seniman paling lantang berkempen untuk pakatan pembangkang, menggesa segera dilakukan "regime change," iaitu menukar pemerintah Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat.

Samad Said merupakan seniman yang agak lewat menyatakan pendirian politik secara jelas, tidak seperti seniman lain contohnya Sasterawan Negara Prof Emiritus Datuk Shahnon Ahmad, yang memanaskan politik negara dengan novel kritik pentadbiran Mahathir, Shit.

Penglibatan sasterawan besar seperti Shahnon dan Samad Said menjadi berita panas pada masa penglibatan aktif mereka, kerana kedudukan mereka dan juga mesej yang mereka sampaikan.

Gesaan menukar rejim dan novel Shit boleh dilihat sebagai kritikan paling keras dan tidak berselindung terhadap parti pemerintah.

Kedua-dua sasterawan pula terlibat aktif dalam politik pembangkang di barisan hadapan, dengan Samad Said berdemonstrasi bersama Bersih kedua dan Shahnon bertanding mewakili PAS dan memenangi Parlimen Sik di Kedah pada 1999.

Shahnon semasa penglibatannya menjadi salah satu kempen paling berkesan dalam menentang parti pemerintah. Tambahan pula, pentadbiran Mahathir pada masa itu menghadapi cabaran getir ekoran tentangan popular terbuka terhadap parti pemerintah.

Kali ini, selepas lebih 12 tahun Shahnon mula terlibat dalam politik, Samad Said pula mendepani kempen menentang pemerintah, membawa kempen "regime change" yang dipopularkan semula oleh pentadbiran Bush di Amerika Syarikat.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac, 2008, penglibatan selebriti dalam politik semakin menjadi fenomena biasa, di kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang.

Menyedari impak yang dapat dihasilkan daripada penglibatan selebriti, parti-parti politik semakin berusaha menarik artis popular sebagai kempen menarik sokongan popular.

Maka dalam kempen pilihan raya umum nanti, boleh dijangka penglibatan lebih tersusun selebriti dalam kempen, yang tidak terhad kepada ceramah tetapi juga aktiviti-aktiviti lain.

Seniman-seniman popular yang semakin menunjukkan sikap politik masing-masing dijangka berada di barisan hadapan dan menjadi satu tumpuan dalam fenomena kempen politik negara ini.

Samad Said, seniman yang paling agresif menentang pemerintah pada masa ini, telah memulakan kempen dengan membawa mesej "regime change."

Menghadapi kempen agresif sasterawan ini, parti pemerintah akan memerlukan kempen yang lebih daripada apa yang dibawa selama ini.

Saturday, 10 December 2011

Prinsip yang perlu ada dalam Al-Quran

Pertama - Belajar

Belajar Al-Quran di sini bukannya sahaja merangkumi aspek kualiti bacaan seperti taranum, tajwid dan Qari. Tetapi mempelajari apa yang terkandung di dalam isi-isi Al-Quran serta mempelajari perkara-perkara yang boleh menjadikan ia sebagai pengisisan rohani dan jiwa dan penambahan kekurangan ilmu. Ketahuilah bahawa beruntungnya orang yang mempelajari Al-Quran daripada orang yang mempelajari ilmu yang tidak membawa apa-apa kepentingan diri..

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW berabda : "Tidaklah orang ynag berkumpul pada salah satu rumah di antara rumah-rumah Allah dengan membaca Kitab Allah dan memperdalamnya melainkan akan turunlah kepada suatu ketenangan dan mereka sentiasa diliputi rahmah serta para malaikat sentiasa memohon ampun buat mereka lagi pula Allah menyebut-nyebut mereka kepada siapa sahaja yang berada di sisinNya". (Hadis Riwayat Imam Muslim) - Rujukan, Riyadus Solihin karangan Imam Nawawi jilid 2 bab "Berkumpul untuk membaca dan mempelajari Al-Quran" no. 1023 m/s 538

SubhanAllah. Sungguh hebat ganjarannya bagi sesiapa yang mempelajari Al-Quran dan mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Jangan hanya mempelajari ilmu tajwid, taranum atau Qari sahaja tanpa ilmu lain yang bersaudara dengan Al-Quran kerana engkau belum tentu mengerti ayat-ayat yang diungkapkan oleh Allah SWT beserta menjadikan ayat-ayatNya sebagai teman rapatmu dan kalimah-kalimah yang akan senantiasa menjadi sebutan dalam kehidupan harianmu.



Kedua - Mengajarkannya kepada orang lain.

Daripada Uthman bin Affan RA, Nabi Muhammad SAW bersabda : "Orang yang terbaik daripada kalangan kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarnya". (Hadis Riwayat Imam Bukhari) - Rujukan, 300 Hadis Bimbingan karya Zahazan Mohammed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam bab "Kelebihan Al-Quran dan ahlinya" no.94 m/s 71

Ajarkanlah Al-Quran itu kepada keluargamu atau teman rapatmu atau saudara-saudaramu kerana mereka yang mengajar itulah golongan yang terbaik daripada golongan yang hanya menjadi Al-Quran sebagai hiasan rumah dan hanya tahu membaca tetapi di dalam hatinya tidak hadir untuk memahami atau mengetahui ayat-ayat Allah. Janganlah engkau simpankan pengetahuan Al-Quran kamu hanya untuk kepentingan diri sendiri sahaja tanpa mempedulikan kekurangan orang lain dan kejahilan mereka itu. Kongsikanlah ia kepada orang lain agar kamu mendapat manfaat dan mendapat kebaikan yang tiada tandingannya di sisi Allah SWT.

Ketgia - Membaca Al-Quran

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-'Ankabut (29) ayat 45 iaitu "Bacalah Kitab (Al-Quran) yang telah diwahyukan kepadamu (oleh Nabi Muhammad)......."

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Kahfi (18) ayat 27 iaitu "Dan bacakanlah (wahai Muhammad) apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Kitab Tuhanmu (yakni Al-Quran), tidak ada yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya, dan kamu tidak dapat menemukantempat berlindung selain daripadaNya".



Inilah yang amat dituntut. Bacalah Al-Quran di waktu kamu lapang dan di saat kamu merasai kemanisan iman serta perdengarkanlah bacaanmu kepada orang lain. Janganlah kamu remukkan hatimu dengan menjauhi Al-Quran dan membiarkan Al-Quran itu hanya mengisi di rak buku yang masih mempunyai ruang kosong. Ambillah kitabullah dan bacalah kerana ianya adalah kitab yang teragung yang terkandungnya kalimah-kalimah yang tiada tandingan hebatnya, keluasan lautan ilmu dan mengandungi ayat-ayat yang mengisi roh, jiwa dan rohani seorang insan yang hatinya penuh dengan kehausan serta kebuluran.

Daripada Abu Umamah al-Bahili RA, Nabi Muhammad SAW bersabda : "Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada golongannya". (Hadis Riwayat Imam Muslim) - Rujukan, - Rujukan, 300 Hadis Bimbingan karya Zahazan Mohammed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam bab "Kelebihan Al-Quran dan ahlinya" no.93 m/s 71

Bacalah ia dengan penuh kelancaran tajwid dan suara yang indah didengar oleh para pendengar yang duduk di sebelahmu serta bacalah dengan penuh khusyuk dan fahamilah apa yang Allah SWT sampaikan. Ingatlah! Bacaan Al-Quran yang indah mampu mengisi cintamu pada Al-Quran dan mendekatkan diri pada Allah yang Maha Esa serta menenangkan jiwa-jiwa yang sentiasa kehausan dan menyucikan hati yang penuh dengan kekotoran maksiat dan menghapuskan hawa nafsu yang bangkit membara.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda : "Bukanlah daripada golongan kami (iaitu) orang yang tidak melagukan Al-Quran". (Hadis Riwayat Imam Bukhari) - Rujukan, 300 Hadis Bimbingan karya Zahazan Mohammed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam bab "Kelebihan Al-Quran dan ahlinya" no.96 m/s 72

Keempat - Memahami Al-Quran.

Ketika anda membacanya, fahamilah apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan hayatilah segala ayat-ayat Allah dengan penuh khusyuk. Keseronokan anda akan lenyap begitu sahaja ketika membaca Al-Quran apabila anda tidak mengerti apa-apa yang Allah sampaikan kepada kita. Malah, kita tidak akan merasai nikmat kemanisan iman saat ketika kita membaca Al-Quran kerana hatinya penuh dengan kekosongan kerana jiwanya tidak dapat menangkap kefahaman yang bertebaran di dalam kitabullah.

Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda : "Sesungguhnya orang yang dalam hatinya tidak ada sesuatu apa pun dari Al-Quran, maka dia adalah seperti rumah yang kosong". (Hadis Riwayat Imam Tirmizi - beliau mengatakan bahawa ini adalah hadis hasan sahih) - Rujukan, Rujukan, Riyadus Solihin karangan Imam Nawawi jilid 2 bab "Fadhilat Membaca Al-Quran" no. 1000 m/s 528.

Sampai bila kita hanya membaca Al-Quran sahaja tetapi hatinya tidak mengerti apa-apa?. Maka dengan itu, berusahalah untuk mencari kompas dalam mencari arah kefahaman dan jalan untuk mengisi kekuatan jiwa supaya dapat menangkap  kefahaman yang bersepah di dalam Al-Quran. Pelajarilah dan dalamilah ilmu Al-Quran agar kamu mengerti apa yang kamu baca dan menghayati ayat-ayatNya serta dapat mengisi roh, jiwa dan hati yang penuh dengan kelaparan dan kehausan.



Kelima - Mengamalkannya

Apabila anda telah mempelajari, mengajari, membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran, maka amalkanlah ilmu yang telah ada di dalam hati anda. Buktikan diri anda bahawa anda adalah Ahlul Quran dan hamba yang cinta akan Al-Quran dengan mengamalkan segala yang terkandung dalam Kitab Al-Quran. Perkataanmu janganlah bertentangan dengan perbuatanmu!. Ikutilah Al-Quran sepenuhnya kerana itulah amalan yang dapat membuka pintu syurga untukmu dan mendapat pengiktirafan yang tertinggi daripada Allah SWT. Berapa ramai yang membaca Al-Quran tetapi Al-Quran sendiri yang melaknatinya!.

Daripada Anas bin Malik RA, Nabi Muhammad SAW bersabda : "Sesungguhnya Allah mempunyai ahli daripada kalangan manusia". Para sahabat bertanya : "Wahai Rasulullah! Siapakah mereka itu?". Baginda bersabda : "Merekalah ahli Quran iaitu ahli Allah dan golongan pilihanNya". (Hadis Riwayat Ibnu Majah) - Rujukan, 300 Hadis Bimbingan karya Zahazan Mohammed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam bab "Kelebihan Al-Quran dan ahlinya" no.92 m/s 71

Tahukah engkau siapakah itu ahli Quran? Ya! Mereka itulah golongan yang menghafal Al-Quran, banyak membaca Al-Quran dan beramal dengannya. Mereka inilah yang akan menjadi ahli Allah yakni para wali Allah dan golongan yang mendapat pilihan yang istimewa daripada Allah. Maka dengan itu, jadikanlah ia sebagai kompas untuk keluar dari jalan yang sesat dan cahaya yang menerangi kegelapan hati serta GPS yang memandu kamu ke arah kecemerlangan hidup. Akhlakmu hendaklah mencontohi Rasulullah SAW seperti yang telah Aisyah RA nyatakan iaitu "Akhlak Rasulullah SAW adalah Al-Quran". Hiasilah akhlakmu dan percantikkanlah peribadimu dengan berdasarkan Al-Quran agar kamu menjadi insan sejuk dilihat oleh mata yang memandang dan dapat mematahkan fitnah-fitnah para munafiqun dan kafirun yang dilontarkan terhadapmu.

Maka dengan itu, peganglah lima prinsip ini sekuat-kuatnya biarpun ianya panas membakar kulis, pahit di rasa hati dan berat untuk dipikul oleh jasad. Percayalah! Bahawa prinsip inilah yang mengangkat martabatmu dan mendapat darjat yang tertinggi di sisi Allah. Istiqamahkanlah sehinggalah ke kubur agar amalan anda menjadi bekalan apabila anda di akhirat kelak. InsyaAllah..

Thursday, 8 December 2011

"Buat diriku yang mudah lupa: Dalami ilmu ahlusunnah, fahami dimana kesalahan fahaman yang lain,teguhkan dasar tauhid ahlusunnah agar tidak terkeliru dengan tauhid fahaman lain yang batil. Sebelum itu kuasai ilmu ihsan, semoga kemanisan islam yg hakiki jadi sumber kekuatan bagi mencari redha ilahi."

"Kata Allah hdp d dunia tidak lain hanyalah kesukaan tipuan..jd lumrah dunia..kita tidak akan lepas selagi roh dan jasad masih bersatu..dan kata Allah..kadang2 teman rapat itu jd musuhmu..tp dalam masa yg sama...musuh kita dulu itu jd penolong dan sekutu kita..kita tidak tahu percaturan hdp kita..kita hanya mampu berdoa dan minta d istiqamahkan dalam jalan yg Allah redahi."

Selepas Kesukaran Ada Kemudahan

Sesungguhnya setiap kali Allah mendatangkan kesusahan, pasti Allah Taala datangkan kemudahan sesudahnya. Ini kerana ia sudah menjadi sunnatullah yang berlaku terhadap makhlukNYA.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Inshirah ayat 5 hingga 6 yang bermaksud:"Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu, ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesudahan itu ada kemudahan."

Boleh jadi sebagai kesukaran dan kesulitan itu membuatkan seseorang hamba itu tertekan jiwanya, namun pasti ada jalan keluar dari sisi Allah yang akan diperolehinya. Mungkin sahaja seseorang yang menghadapi saat kesukaran dan dirasakan tidak akan dapat memperoleh penyelesaian, tiba-tiba terbuka dihadapannya jalan keluar daripada kesukaran yang tidak pernah ia terfikir sebelumnya.

Orang yang terkena bencana musibah, hakikatnya sedang menanti kesenangan dari orang yang sedang dalam kesenangan.