Friday, 30 December 2011

‘Kambing hitam’ elak terlibat kes profil tinggi

 AJK PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, wujud kecenderungan di kalangan kepimpinan sekarang terhadap kes berprofil tinggi yang akhirnya mencari ‘kambing hitam’.
“Inilah masalah dan sikap tidak baik yang ada di kalangan kita di Malaysia apabila berlaku pendedahan dan berlaku kes, biasanya ada mangsa yang dicari untuk meletakkan kesalahan itu, tetapi hukuman atau tindakan ke atas orang yang melakukan kesalahan terbabit tidak dibuat.
“Ini yang menjadi masalah kepada kita di Malaysia, walau pun transaksi sudah cukup, tetapi dicuba mencari ‘kambing hitam’, cuba nak mengelakkan isu, mengalihkan isu tertentu daripada masalah sebenarnya,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan kepada pemberita pada Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (Yik) kali kedua 2011 di Balai Islam, Lundang dekat sini petang semalam.
Mohd Amar turut mengulas laporan media mengenai kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung tidak ada pemimpin Umno yang tidak bermasalah.
“Kalau kita ambil perkara ini sebagai suatu kenyataan yang benar daripada menteri berkenaan, bermakna seluruh kepimpinan kerajaan ini adalah tidak bersih.
“Justeru seperti mana yang saya sebutkan sebelum ini, kini adalah saat paling sesuai untuk rakyat negara ini membuat perubahan.
“Ini kerana menteri itu pun secara tidak langsung mengaku bahawa kepimpinan kerajaan ini terbabit dengan penyalahgunaan kuasa,” ujarnya.
Mengulas isu NFC, beliau berkata kes itu merupakan tanggungjawab bersama kerajaan walau pun mungkin berlaku dalam salah satu kementerian, tetapi adalah tanggungjawab bersama terutamanya adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ini kerana sebelum ini dia adalah Menteri Pertanian. Jadi kes NFC ini berlaku di bawah kementerian yang dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri sekarang. Jadi dia kena ambil tanggungjawab,” ujarnya.
Sehubungan itu, ujarnya berdasarkan perkembangan semasa dari pendedahan dan juga peristiwa berlaku di negara kini menunjukkan bahawa sudah sampai masanya untuk rakyat membuat perubahan di peringkat kepimpinan negara.
“Maknanya, Kerajaan BN yang selama ini diberikan kepercayaan ini sudah gagal untuk melaksanakan amanah yang diberikan pengundi di Malaysia,” tegasnya.

Rakyat Selangor selesa, tiada sebab tukar kerajaan

 Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan rakyat Selangor menyesal kerana menolak BN di dalam pilihanraya yang lalu merupakan kenyataan yang tidak berasas sama sekali.
AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ia bertentangan dengan kegembiraan oleh rakyat Selangor menikmati berbagai kemudahan.
“Kenapa pula rakyat Selangor hendak menyesal kerana menolak BN?” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, rakyat Selangor tidak pernah bermimpi memperolehi air percuma, skim kifalah RM2,500, guru Kafa mendapat elaun RM1,500, Tabung Wawasan Anak Selangor (Tawas) RM100, skim mikro kredit miskin bandar sebanyak RM5,000 bagi mereka yang berpendapatan RM1,500 sebulan dan berjaya melunaskan hutang negeri RM173 juta daripada RM800 juta.
Beliau berkata, sebenarnya yang paling menyesal apabila rakyat Selangor menolak BN di Selangor ialah pemimpin Umno.
Ini, katanya kerana impian mereka hendak membolot khazanah di Selangor tidak kesampaian.
“Hajat untuk membina rumah mewah yang berhaga berpuluh juta terpendam, hajat mereka untuk menutup kelas pengajian di masjid dan surau tidak berjaya,” ujarnya lagi
Tambahnya, perkara yang paling menyakitkan hati pemimpin BN ialah  ‘khurafat’ yang mengatakan selain daripada Umno memerintah maka sebuah negeri tidak maju telah tertolak dengan kejayaan PR menunjukkan prestasi cemerlang walaupun dalam masa yang singkat.
“Rakyat Selangor tidaklah sebodoh itu untuk menukar kerajaan Pakatan Rakyat yang sudah memberi keselesaan, kepada BN yang kembali menindas rakyat demi kepentingan perut kroni dan anak pinak jika mereka berkuasa,” ujarnya.

Politik Malaysia 2011: 10 pemain dan isu utama


Tahun 2011 mencatat sejarah sebagai tahun yang penuh drama, disebabkan sebahagian besarnya oleh Pilihan Raya Umum ke-13 yang dirasakan semakin hampir. Medan politik negara tidak pernah sunyi dengan peristiwa panas dan kontroversi. Berikut 10 pemain dan isu utama politik Malaysia sepanjang 2011 berdasarkan penilaianSiasahDaily.

1. Bersih 2.0
Gerakan yang paling mendapat perhatian di dalam dan luar negara selepas perhimpunan pada 9 Julai berjaya diadakan walaupun berdepan tekanan pemerintah. Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dapat dilihat tertekan ekoran kejayaan Bersih kedua, walaupun jauh sedikit berbanding penyertaan Bersih pertama pada 2007.

2. NFC dan Shahrizat
Datuk Seri Shahrizat Jalil ditekan oleh pemimpin-pemimpin Umno sendiri ekoran terdedahnya kaitan suami beliau dengan National Feedlot Corporation. NFC mencetuskan kebimbangan Umno disebabkan tekanan kuat dicetuskan oleh skandal itu. Shahrizat berpotensi tersingkir daripada kedudukannya akibat terpalit skandal itu, ketika Najib mula bercakap dan menekankan keperluan Umno meletakkanwinnable candidates dalam pilihan raya akan datang.

3. Penyebaran Kristian
Kontroversi tercetus ekoran siasatan pihak berkuasa agama Selangor ke atas sebuah gereja Metodis di Petaling Jaya, dan menemui bukti-bukti jelas penyebaran agama Kristian ke atas orang Muslim. Kejadian di negeri Selangor yang dikuasai Pakatan Rakyat memberi implikasi negatif kepada gabungan itu terutama PAS. Tindakan Datuk Dr Hasan Ali, exco kerajaan daripada PAS mempertahankan tindakan siasatan itu mencetuskan reaksi negatif terhadapnya.

4. Bob Lokman
Bob Lokman menyertai PAS di Kedah semasa perhimpunan pemuda parti itu, dan terus aktif berkempen untuk PAS. Terbaharu, beliau muncul dalam video pendek Oley! bersama beberapa pemimpin Pemuda PAS termasuk Ketua Pemuda Nasrudin Hassan. Turut mencetus kontroversi dengan pihak berkuasa agama Selangor kerana ceramah tanpa tauliah. Mengatasi Lisa Surihani yang menerima anugerah Pergerakan Puteri Umno dari segi liputan dan perhatian ramai.

5. NajibPerdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menjadi ahli politik paling berjaya memulihkan imej sepanjang 2011. Najib berusaha kelihatan cool dengan aktif dengan media sosial Facebook dan Twitter, bergambar dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, mengumumkan pemansuhan ISA dan membentangkan belanjawan yang memberi keyakinan kepada pemerintah untuk memenangi semula hati rakyat.

6. Pena, Interlok dan bahasa Melayu
Isu novel Interlok yang ditolak oleh penentangnya kerana dianggap rasis menjadi senjata menyerang pemerintah dikuasai parti Melayu, Umno. Terbaharu, novel tersebut diganti dengan novel lain, pada masa sama Persatuan Penulis Nasional (Pena) menyambut ulang tahun ke-50 dan diberi habuan RM1 juta oleh kerajaan. PPSMI yang diperjuangkan Pena juga masih dikekalkan.

7. Himpun
Gerakan masyarakat Muslim Himpun bergerak lebih aktif ekoran aktiviti penyebaran Kristian yang dilihat berleluasa, terutama ekoran peristiwa gereja Metodis di Selangor. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, PAS menjauhkan diri daripada gerakan itu, walaupun menerima sokongan moral beberapa pemimpin pemuda parti itu. Himpun dilihat berkemampuan untuk menjejaskan sokongan orang Melayu Muslim kepada PR yang kelihatan tidak membela kepentingan Islam.

8. Anwar

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berjuang untuk mengetuai Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya - yang gagal dilaksanakan pada 2008 - sepanjang 2011, tahun yang menyaksikan keyakinan terhadapnya semakin terhakis sehingga ada kalangan pemimpin PR menemui Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertindak sebagai pelan B. Anwar walau bagaimanapun tidak membenarkan perhatian beralih daripada dirinya, dan terus mendapat perhatian sepanjang 2011, tahun video seks dikaitkan dengannya disebarkan.

9. Seksualiti Merdeka
Seksualiti Merdeka, gerakan perjuangan hak gay mengejutkan negara apabila secara terbuka mempromosikan aktiviti tahunan pada November lalu. Penglibatan Datuk Ambiga Sreneevasan menarik perhatian musuh politik pembangkang yang segera mengaitkan PAS dengan gaya hidup yang dilarang agama Islam itu. Perkembangan melibatkan gerakan ini menandakan peningkatan pengaruh dan kuasa politik golongan gay di negara ini, dibantu oleh iklim politik yang semakin liberal.

10. Papa Gomo
Blog paling dikunjungi ini ialah blog pro-Umno yang mendepani usaha serangan ke atas pembangkang ekoran kekalahan teruk BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008. Antara blog terawal menyiarkan video seks didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dengan berani menegaskan bahawa pelakunya ialah Anwar. Papa Gomo menjadi pemblog paling dibenci oleh Pakatan Rakyat.

Wednesday, 28 December 2011

Sorotan Tahun 2011, skandal dan kerakusan Umno semakin terserlah!


Sepanjang tahun 2011, pelbagai peristiwa penting berlaku dalam kamus politik negara yang pastinya dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia.Namun paling meriah dibihttp://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2011/05/najib-umno.jpgcarakan pastinya isu-isu skandal rasuah mahupun penyelewengan membabitkan kepimpinan negara serta perbicaraan liwat kedua membabitkan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.


Tahun 2011 bermula dengan isu pertemuan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu, Kuala Lumpur,yang turut dihadiri Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak,

Nik Aziz kemudiannya menjelaskan bahawa pertemuan itu tiada kaitan dengan isu politik.

Kemudian, cakap-cakap mengenai kemewahan dan keghairahan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor semakin hebat, termasuk dalam kes perbelanjaan mewah dan pembelian barangan peribadi yang menelan belanja ratusan malah jutaan ringgit.

Tidak lekang dengan isu Rosmah, kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang di Johor menyusul dengan 'Aura Cikgu Mala' (calon PAS, Normala Sudirman) menjadi topik hangat diperkatakan.

Namun, aura Cikgu Mala tidak mampu mengugat keyakinan pengundi tegar Umno BN di Tenang yang akhirnya memberi kemenangan kepada calon BN, Mohd Azhar Ibrahim.

Sebaik keputusan kemenangan Azhar diumumkan, Tenang bagaikan bergelora dengan musibah banjir yang menyebabkan petugas media, penyokong dan jentera pilihan raya tidak dapat keluar daripada kawasan itu antara 2 ke 3 hari lamanya.

Selepas Tenang 'menjadi gelora', tahun 2011 diserikan lagi dengan desas desus mengenai sebarang kemungkinan pilihan raya umum bakal diadakan oleh kerajaan Najib Razak bagi mendapatkan mandat yang baharu.

Mood kemenangan di Tenang kononnya membantu Najib untuk mendapatkan ilham bagi mengadakan pilihan raya umum ke-13.

Ia ditambah dengan kononnya pilihan raya umum diadakan bersekali dengan pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada April 2011,namun semua telahan itu tidak tepat, dan hanya Sarawak sahaja yang meraikan gelanggang demokrasi itu pada April 2011.

Kemeriahan pilihan raya negeri Sarawak diwarnai dengan serangan pelbagai pihak ke atas Ketua Menterinya, Tan Sri Taib Mahmud mengenai kekayaan dan skandal dalam pemerintahannya.

Taib Mahmud dikaitkan dengan pemilikan kekayaan dengan merembat hasil bumi Sarawak selain tanah-tanah rakyat Sarawak yang dipugarnya seperti milikan sendiri.

Sepanjang setengah bulan kempen pilihan raya negeri Sarawak berlangsung, Pakatan Rakyat dilihat mampu mengugat kedudukan Taib Mahmud, dan angin perubahan kononnya akan melanda Sarawak yang berpilihan raya pada 16 April 2011.

Namun, semua telahan itu tidak menjadi, akhirnya Sarawak masih kekal ditangan BN-PBB pimpinan Taib Mahmud, walaupun undi popular BN merosot daripada 63 peratus kepada 55 peratus sahaja.

Dalam pada pilihan raya Sarawak berlangsung, di Semenanjung, rakyat digemparkan dengan isu kematian anggota kanan Kastam, Ahmad Sarbaini di pejabat SPRM Jalan Cochrane.

Kematian beliau menggemparkan seluruh rakyat setelah sebelum ini Teo Beng Hock juga mati di pejabat SPRM Shah Alam.Isu kematian di pejabat SPRM bukan lagi menjadi isu 'perkauman' selepas kematian Ahmad Sarbaini.

Selepas pilihan raya negeri Sarawak, negara pula dimeriahkan lagi dengan desas-desus dalam pemilihan PAS dimana nama Mohammad Sabu menjadi sebutan sebagai pesaing kepada Ustaz Nasharudin Mat Isa yang memegang jawatan Timbalan Presiden PAS untuk tiga
penggal sebelumnya.

Dalam persaingan dikatakan antara Mat Sabu-Nasharudin, akhirnya muncul seorang lagi calon iaitu Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man yang ketika itu menjawat Naib Presiden PAS.

Pemilihan berlaku dalam keadaan tiga penjuru, dan akhirnya Mat Sabu menang dengan majoriti 21 undi mengatasi kedua-dua pesaingnya.

Selepas Mat Sabu menang jawatan tersebut, PAS diserang hebat kononnya PAS menggadai perjuangan dengan meletakkan bukan Ulama menjadi kepimpinan PAS.

Namun, telahan dan dakwaan itu berjaya dipatahkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyebutkan bahawa pemilihan Mat Sabu tepat pada masanya menjelang PRU-13 dalam suasana PAS dan Pakatan Rakyat berdepan PRU-13.

Dalam kemeriahan pemilihan PAS, pada 16 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala lumpur memerintahkan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim membela diri dalam kes liwat kedua membabitkan Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ramai penganalisis politik dan pimpinan Pakatan Rakyat melihat, tindakan itu membuktikan politik terdesak Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk berdepan Anwar dalam masa yang sama Najib lemas dengan skandal-skandal membabitkan isterinya, Rosmah Mansor.

Politik negara kemudiannya terus panas dengan isu penganjuran perhimpunan Aman Bersih 2.0 yang dikepalai Dato' Ambiga Sreenevasan dan Dato' A Samad Said pada 9 Julai.

Tindakan kerajaan Najib menghalang dengan tidak membenarkan himpunan diadakan di Kuala Lumpur membibitkan rekasi negatif kalangan pimpinan Pakatan Rakyat mahupun NGO.

Negara bagaikan menjadi 'negara polis' apabila sehari sebelum himpunan diadakan, pihak berkuasa mengawal ketat jalan masuk ke Kuala Lumpur selain menyenaraikan nama-nama pimpinan Pakatan Rakyat dan aktivis NGO dihalang masuk ke Kuala Lumpur pada
tarikh 9 Julai.

Semasa himpunan diadakan, negara digemparkan lagi dengan kematian seorang pemandu teksi yang menyertai himpunan itu atas dakwaan dikasari oleh pihak berkuasa ketika melerai himpunan.

Selain itu beberapa pimpinan Pakatan Rakyat ditahan termasuk Presiden PAS (Ustaz Hadi) dan kecederaan yang dialami Anwar kerana bos asap yang kononnya dituju ke arahnya oleh pihak berkuasa dalam melerai himpunan.

Tidak kurang hebatnya isu Mat Sabu dilanggar oleh kenderaan pihak berkuasa polis hingga menyebabkan kecederaan serius dilututnya menjadi perbualan dan liputan hebat.

Mat Sabu dituduh berbohong, namun Mat Sabu tampil mempertahankan dakwaannya itu dengan bukti laporan kesihatan daripada pusat perubatan pakar swasta mengenai kecederaan lutut yang menyebabkan beliau terpaksa menjalani pembedahan kecil.

Media-media arus perdana turut menjadi alat untuk menyiarkan kenyataan pimpinan Umno-BN dan pihak berkuasa dalam menafikan kononnya pihak berkuasa yang melerai himpunan penyebab kematian pemandu teksi dalam himpunan Bersih 2.0.

Dalam pada isu perhimpunan Bersih 2.0 dibicarakan, negara telah dikejutkan dengan pendedahan oleh Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berhubung kemasukan cincin berlian bernilai RM24 juta yang dikaitkan dengan Rosmah Mansor.

Dakwaan Rosmah membawa masuk cincin keluaran khas Jacob&Co itu kemudiannya dinafikan oleh blogger pro Umno, namun Badrul Hisham tampil dengam bukti dokumen kemasukan Kastam.

Rosmah dicabar menafikan kaitan dengan cincin itu, dan kemudiannya hanya menjawab ia dimasukkan ke Malaysia atas tujuan pameran sulit semata-mata.

Rosmah kemudiannya diserang dengan isu-isu pemilihan barangan peribadi berjenama yang menelan belanja ratusan ribu ringgit, dan kredibilitinya selaku isteri Perdana Menteri dipertikai.

Beliau didakwa membeli tiga unit beg tangan berjenama Hermmezz Mate pada nilai lebih RM300,000, gelang tangan pada harga RM1.65 juta selain kos pengendalian sidang wanita pertama pada nilai RM4.5 juta.

Senyap isu himpunan Bersih 2.0 dan Rosmah, isu ceramah Mat Sabu berkaitan Mat Indera pula mengambil tempat.Mat Sabu mencetus fenomena baharu dalam perbincangan semula mengenai sejarah negara setelah beliau meletakkan Mat Indera antara pejuang bangsa yang harus dikenang.

Kenyataannya itu mengheret beliau dengan kecaman oleh pimpinan Umno serta NGO Melayu kononnya Mat Sabu mengangkat pejuang Komunis.

Kecaman demi kecaman dan Mat Sabu berdepan dengan ugutan termasuk tindakan pihak tertentu melemparkan molotof koktail ke pintu pagar rumahnya.

Nama Mat Sabu disebut merata, ada yang menyanjung, tidak kurang yang menghinanya.Namun Mat Sabu digelar oleh pakar sejarah Universiti Malaya, Prof Mohammed Abu Bakar sebagai pencetus penulisan semula sejarah negara.

Selepas itu, negara dikejutkan dengan isu-isu pendedahan penyelewengan oleh kerajaan Umno-BN dalam Laporan Ketua Audit negara 2010.

Paling mendapat perhatian ialah pendedahan mengenai penyelewengan dalam dana rakyat RM250 juta membabitkan Pusat Fidlot Negara (NFC) yang dikaitkan dengan Ketua Wanita Umno, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Skandal NFC didedahkan oleh Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Rafizi Ramli dan pada awalnya ia mendapat kecaman hebat oleh beberapa pimpinan Umno terutamanya Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin.

Kemudiannya, Rafizi tampil dengan pelbagai bukti mengenai penyelewengan Dana NFC antaranya termasuk pembelian kondominium mewah di Bangsar serta Singapura antara RM9 hingga RM10 juta.

Rafizi juga mendedahkan bagaimana aliran saham NFC yang dikuasai Pengerusi NFC, Dato' Dr Mohahhamd Salleh Ismail (suami Shahrizat) dan anak-anak Shahrizat.

Malah Rafizi turut mendedahkan aliran kewangan NFC yang dikatakan membiayai pelbagai syarikat berkepentingan keluarga Shahrizat termasuk yang berdaftar di Singapura.

Pendedahan skandal itu menenggelamkan pengumuman 'gula-gula pilihan raya' dalam Belanjawan 2012 yang dibentang Najib pada awal Oktober 2011.

Isu NFC terheret hingga cabar-mencabar dan adegan 'selak kain' serta 'sinsing lengan' oleh Shahrizat dalam Perhimpunan Agung Umno 2011 di PWTC.

Shahrizat akhirnya mendapat tamparan hebat dengan kenyataan beberapa pimpinan Umno yang mendesaknya melepaskan jawatan agar parti dan kerajaan tidak dimalukan dengan skandal membabitkan Ketua Wanita Umno itu.

Skandal NFC terus meniti dibibir masyarakat, disamping isu pelantikan Tan Sri Isa Abdul Samad selaku Pengerusi Felda dalam keadaan manipulasi berlaku semasa pelantikan itu.

Isa dikatakan memegang 'rahsia' Najib menyebabkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu kukuh pada kedudukan selaku pemegang rahsia walaupun sebelum ini dikaitkan dengan skandal rasuah semasa pemilihan Umno.

Penghujung tahun 2011, dalam keadaan beberapa buah negeri dilanda banjir (Pahang, Johor, Melaka, Kelantan dan Sarawak), negara juga dihangatkan dengan isu kritikan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Mohd Ali dan bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa ke atas PAS.

Isu itu bergelandangan selama lebih dua minggu menyebabkan seluruh kepimpinan PAS bercakap mengenainya termasuk jawapan balas terhadap kritikan Hassan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali yang menjadikan keadaan semakin menarik.

Isu itu kemudiannya disusuli dengan penutupnya apabila PAS Pusat mengarahkan Hassan, Nasharudin Mat ISa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip bertemu dengan PAS Pusat bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

Dalam kehangatan isu itu dibincangkan, tidak kurang perbicaraan kes liwat Anwar mendapat perhatian dengan Mahkamah Tinggi mengumumkan pada 9 Januari 2012 sebagai tarikh penentu nasib Ketua Pembangkang itu.

Selain itu, penutup tirai 2011 dihiasi dengan keputusan kes rasuah membabitkan bekas MB Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman spenjara setahun.

Kemudiannya, pendedahan mengenai idu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir Baharom yang dikatakan mendapat wang pendahuluan daripada wang zakat Wilayah Persekutuan bagi menanggung pengurusan guaman dalam kes Liwat Anwar mendapat
perhatian.

Walaupun Jamil Khir tampil memberi penjelasan bahawa wang itu telah dibayar semula, namun rakyat mempertikai tindakan menteri yang menjaga agama itu dalam menggunakan wang zakat sedangkan rakyat miskin sukar untuk mendapatkan wang tersebut.

Selain itu, kes membabitkan pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli yang menurunkan bendera Najib juga menarik perhatian.

Adam Adli dianggap sebagai wira mahasiswa yang mahukan perubahan daripada kongkongan akademik Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), tidak kurang beliau dikecam dan diugut oleh penyokong dan pemimpin Umno-BN.

Kini rakyat menanti saat-saat berlakunya pilihan raya umum ke-13 yang mungkin membuka tirai tahun 2012 setelah melihat media Umno-BN menyerang setiap parti dalam Pakatan Rakyat dan melaga-lagakan kepimpinan PR.

Apakah peristiwa sepanjang tahun 2011 boleh menjadi ukuran kepada rakyat dalam menilai pihak mana yang harus menjadi pemerintah di negara ini, segala-galanya mungkin kini sedang dalam pertimbangan rakyat.

Zaid Ibrahim bantu Nurul Izzah lawan Azmin?


Persaingan kuasa dalam PKR, yang semakin jelas dilihat sejak menjelang pemilihan lalu muncul lagi, mengaitkan pemimpin-pemimpin tertinggi parti.

Pengendali laman Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin mendakwa Azmin Ali, timbalan presiden PKR di belakang penyebaran surat layang memburukkan Nurul Izzah Anwar, naib presiden PKR.

Surat itu menggesa ahli-ahli PKR menghalang Nurul Izzah yang didakwa cuba membawa semula Datuk Zaid Ibrahim - yang kini memimpin partinya Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) - menyertai semula PKR.

Dalam kolum terbaharunya, Raja Petra menerbitkan semula surat itu dengan ulasan ringkas mengatakan Azmin dipercayai di belakang penyebaran surat layang tersebut, dalam usaha menyekat anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu daripada menghalang kemaraan Azmin.

Menurut surat itu, Nurul Izzah mempunyai pengaruh untuk membolehkan Zaid dibawa semula menyertai PKR disebabkan kedudukannya.

"Sebagai naib presiden paling kanan dalam PKR dan anak kepada Anwar Ibrahim, Nurul Izzah pastinya mampu memanipulasi ayahnya dan setidak-tidaknya dapat membuka ruang buat Zaid menyertai PKR dan Pakatan Rakyat semula."

Menurut surat itu lagi, "Nurul Izzah perlu sedar bahawa status beliau sebagai anak kepada Anwar Ibrahim tidak semestinya akan merestui semua tindakan politiknya."

Zaid keluar parti setelah kecewa dengan politik Anwar dan permainan Azmin menyekat kemaraannya dalam parti.

Dakwaan Raja Petra ini sekiranya benar memberi gambaran usaha Azmin mengukuhkan kedudukannya dalam parti termasuk dengan menyekat Nurul Izzah, pemimpin muda yang dilihat berpotensi dan tidak mempunyai beban sejarah seperti beberapa pemimpin lain termasuk Azmin.

Kedudukan Nurul Izzah sebagai anak Anwar, pemimpin kanan yang muda dan popular mampu menggugat Azmin dalam kepimpinan parti.

Zaid semasa masih dalam PKR juga dilihat sebagai pencabar terdekat Azmin, disebabkan kedudukan seniornya yang dilihat mengatasi kelayakan Azmin.

Misteri kemunculan semula Razak Baginda terjawab


Kebelakangan ini, beberapa media mula memperkatakan semula tentang Dr Abdul Razak Baginda, yang muncul di tengah-tengah satu kes yang memanaskan politik negara.

Tanpa memberikan sebarang maklumat terperinci, Abdul Razak hanya dikatakan "muncul semula" dalam program dialog dan juga "mula mendekati Islam."

Abdul Razak, yang kini diperkenalkan dengan nama Abdul Razak Abdullah, ialah pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan Islamic Peace Foundation yang berpangkalan di London, United Kingdom.

Beliau menggunakan nama Razak Baginda di laman jaringan sosial Facebook, dengan maklumat ringkas "Ex-prisoner, Oxford doctorate and now in the wilderness."

Yayasan beliau telah mengadakan dua majlis perbincangan berkisar tentang Islam di Kuala Lumpur sejak Mac lalu, terbaharu satu syarahan pada 14 Disember lalu bertajuk The Islamic World: Between Politics and Religion, di sebuah hotel yang terletak kurang 500 meter dari Bangunan Getah Asli, pejabatnya semasa terseret ke dalam kes pembunuhan pada 2008.

Yayasan beliau menekankan ciri Islam sebagai agama yang aman dan menolak ekstremisme dan terorisme, satu mesej yang hampir dengan mesej moderat global yang diusahakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Walaupun berpangkalan di London, Abdul Razak dijangka akan aktif dalam program dialog di Malaysia, meningkatkan profilnya kembali sejak dibebaskan daripada dakwaan subahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada Oktober 2008.

Isu qazaf, Yusri jawab tuduhan Wadah




Baru-baru ini saya mendapat panggilan daripada Prof Datuk Dr Sidek Baba tentang kenyataan media Wadah (Wadah Pencerdasan Umat Malaysia)bertarikh 19 Disember 2011 tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isu qazafyang mengheret nama kami berdua.

Secara tidak langsung, kenyataan ini menggambarkan bahawa seolah-olah kami berdua terlibat dalam melakukan jenayah qazaf, tidak menghormati syarak dan melanggar hukum syarak dalam isu ini. Ini adalah dakwaan-dakwaan yang berat. Saya belum sempat untuk membuat respons penuh kerana sedang bermusafir.

Saya keberatan juga untuk memberi respons tetapi jika saya berdiam sahaja nanti ada yang menyimpulkan bahawa kenyataan tersebut adalah yang benar tanpa menyelidik lebih lanjut.

Apabila pimpinan Wadah memilih untuk tiba-tiba membuat kenyataan secara terbuka maka terpaksalah penjelasan juga dibuat secara terbuka.

Untuk rekod, sebagai bekas pimpinan tinggi Abim, saya sudah cuba dan beberapa kali menawarkan untuk membincangkan isu ini dalam organisasi secara keluarga dan tertutup tetapi kurang sambutan terutamanya di pihak pimpinan Wadah.

Respons ringkasnya dahulu, saya berpandangan bahawa pimpinan Wadah sudah tersasar dalam memahami hukum qazaf dalam syariah Islam dalam kes Anwar-Mohd Saiful Bukhari Azlan ini.

Mereka harus mengkaji semula dan merujuk balik kepada pakar-pakar syariah yang khusus dalam bidang ini. Janganlah kasih atau benci kita terhadap mana-mana orang atau kumpulan menghalang kita bersikap objektif dan berlaku adil.

Soal utamanya, adakah kes Anwar-Saiful suatu kes tuduhan zina/liwat biasa? Atau adakah ia kes seorang yang mendakwa dirinya menjadi mangsa zina/liwat yang melibatkan paksaan?

Adalah jelas jika dilihat secara objektif bahawa ini bukan kes tuduhan zina/liwat daripada pihak ketiga terhadap mereka. Peguam negara hanya mewakili Saiful yg mendakwa sebagai mangsa. Jadi ini jelas bukan kes zina/liwat yang hanya boleh dibuktikan dengan empat orang saksi.

Kes ini lebih sesuai dikategorikan sebagai dakwaan rogol atau lebih tepatnya sebanding dengan kes-kes sumbang mahram atau gangguan seks oleh majikan di tempat kerja. Dalam kes-kes sebegini, beban buktinya dalam Islam tidak sama dengan dakwaan zina/liwat. Bukan empat orang saksi. Bukan. Bukan.

Kalau masih dituntut empat orang saksi ke atas seseorang yang mendakwa dirogol, atau jadi mangsa sumbang mahram ataupun gangguan seks di tempat kerja maka bayangkan akan mampukah mana-mana mangsa kes-kes tersebut mendapat pembelaan dan keadilan? Zalimlah Islam dan syariah Islam! Sukar sangatkah untuk memahami hal ini?

Maka Anwar (dan Wadah?), dalam kes Saiful, tidak boleh berselindung di sebalik hukum empat orang saksi atau di sebalik hukum qazaf. Mahkamah harus memberi peluang kepada Saiful untuk membentangkan apa-apa bukti lain yang diiktiraf syarak dalam kategori bayyinah atau qarinah kalaupun bukan saksi mata (syahadah).

Itulah intipati sikap saya dalam hal ini. Apabila balik nanti saya akan berbincang lebih lanjut dengan Cikgu Sidek tentang apakah langkah susulan yang perlu diambil. Kalau ada dan kalau mahu.

Sebenarnya saya dan saya yakin Cikgu Sidek banyak tugas dan tumpuan lain dan saya yakin sepatutnya Wadah juga banyak tugas dan tumpuan lain di gelanggang dakwah di Malaysia yang begitu luas.

Sampai bilakah dakwah Islamiyyah, umat Islam dan organisasi Islam di Malaysia hendak terlalu tertumpu, terheret dan terikat dengan seorang insan bernama Anwar Ibrahim.

Saya yakin bahawa kita semua tahu bahawa Islam, dakwahnya dan umatnya adalah lebih besar dan lebih tinggi daripada mana-mana individu, organisasi atau kumpulan.