Tuesday, 17 January 2012

Pakatan Rakyat, undi Melayu dan Putrajaya


Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua pembangkang dan calon perdana menteri Pakatan Rakyat muncul di konvensy

Dengan tema "Bersihkan Malaysia," pemimpin-pemimpin parti gabungan juga mengenakan baju putih - yang melambangkan kebersihan dan kesucian - satu penegasan misi menjatuhkan Barisan Nasional di peringkat pusat dengan segera untuk digantikan dengan parti-parti yang mendakwa lebih bersih.

Walau bagaimanapun, secara keceluruhan, konvensyen ketiga PR di Alor Setar hujung minggu lalu masih membawa isu-isu yang sama, tanpa penegasan terbaharu dan gambaran masalah bersama sedang diselesaikan.

Beberapa laporan dan komentar media liberal turut memberi perhatian terhadap isu ini, antaranya menyifatkan konvensyen kali ini sebagai hanya bunyi tanpa isi.

Apa yang diperkatakan dalam konvensyen kali ini amat menarik sekiranya muncul daripada konvensyen pertama atau kedua, tetapi selepas beberapa tahun PR wujud sebagai satu aliansi, mesej yang disampaikan semakin memenatkan.

Buku jingga yang dikemukakan pada konvensyen yang lalu semakin tercabar oleh tindakan-tindakan pemerintah, termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA.

Istilah menarik perhatian seperti "Putrajaya" semakin hilang nilainya, selepas kegagalan projek 16 September dan realiti yang semakin menampakkan betapa sukarnya untuk mencapai matlamat itu, apatah lagi bersatu selepas itu untuk menubuhkan kerajaan pusat dan meneruskan perjalanan dari situ.

Ekoran pelbagai isu seperti video seks, perbicaraan Anwar dan pertelingkahan dalaman antara parti terutama di Selangor, kebolehlaksanaan PR sebagai calon pemerintah pusat semakin teruji, walaupun PR kini satu-satunya pencabar BN yang kredibel dan wujud sebagai satu pakatan.

Mesej yang dibawa sejak 2008 ialah PR lebih baik berbanding BN, yang dikemukakan dalam pelbagai variasi termasuk yang terbaharu, "Bersihkan Malaysia."

Isu Melayu yang menjadi kebimbangan berasas sesetengah pihak masih tidak ditangani dengan baik. Simbol lokasi konvensyen di Alor Setar, negeri Melayu ditandir PAS juga kelihatan tidak dapat pergi lebih jauh daripada itu.

Di Selangor, penentang PR memperolehi senjata baharu dengan pemecatan Datuk Dr Hasan Ali daripada PAS, yang kemudian digugurkan daripada jawatan exco dan diganti segera sebelum tamat tempoh rayuan.

Dari sudut persepsi, Hasan kini dimunculkan sebagai mangsa ekoran perjuangannya menangani isu arak, maksiat dan penyebaran Kristian terhadap orang Muslim di Selangor.

Walaupun kalangan penyokong PAS mungkin sebahagian besarnya tidak melihat isu Hasan semudah itu, kesannya terhadap pengundi Melayu atas pagar tidak boleh diremehkan.

Akhbar Umno Utusan Malaysia juga meneruskan kempen negatif terhadap Anwar, terbaharu dengan menimbulkan isu sokongan beliau terhadap hak homoseksual.

Anwar dalam satu wawancara dengan agensi berita Associated Press mengatakan undang-undang berkenaan seks gay di negara ini sebagai telah ketinggalan zaman, pandangan yang sebelumnyadikemukakan oleh Human Rights Watch.

Selepas dibebaskan oleh mahkamah, Anwar mengulangi pendiriannya dalam satu wawancara dengan badan penyiaran Inggeris, BBC, yang menarik perhatian banyak pihak di negara ini.

Isu undi Melayu tidak dapat dielakkan oleh PR yang semakin mudah dikaitkan dengan dominasi parti dan agenda yang tidak mesra Melayu.

Setakat ini, belum muncul tanda-tanda jelas untuk menentang dan menjawab persepsi itu, yang kelihatan semakin berjaya dieksploit oleh musuh-musuh PR.

Kenapa Utusan 'blackout' gambar Najib?


Akhbar dikuasai Umno, Utusan Malaysia kelihatan telah mengalihkan tumpuan ekoran keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Selepas dua hari, yakni pada 11 dan 12 Januari gambar Najib tidak terbit di halaman dua dan tiga, gambar beliau kembali muncul pada 13 Januari dengan pengumuman program bantuan untuk rakyat berpendapatan rendah.

Pada masa sama, gambar-gambar bersaiz besar Najib muncul di muka depan dan muka tiga dengan nilai yang positif.

Berita pada hari ini, 13 Januari, bersifat positif kepada Najib tanpa sebarang kaitan kepada kes Anwar.

Pada 9 dan 10 Januari, gambar perdana menteri diterbitkan bersama laporan lawatan ke Afrika Selatan untuk meraikan sambutan parti Kongres Nasional Afrika.

Pada 10 Januari, hari selepas keputusan yang menjadikan liputan Utusan Malaysia ditunggu-tunggu, laporan ulasan Najib tentang kes Anwar diletakkan di muka tiga tanpa gambar, dengan komentar yang ringkas dan memberi fokus pada nilai positif keputusan itu kepada integriti kehakiman di negara ini.

Ketiadaan gambar Najib di halaman tiga Utusan Malaysia selama dua hari berturut-turut boleh dikaitkan dengan reaksi ramai ahli dan penyokong parti pemerintah terhadap keputusan kes liwat Anwar.

Sama ada dirancang atau tidak, ketiadaan gambar Najib selama dua hari boleh mengelakkan kaitan dibuat antara keputusan kes Anwar dengan beliau, yang kukuh dalam persepsi sesetengah pihak termasuk penyokong kuat Umno.

Sekiranya tercetus kemarahan ramai ahli dan penyokong Umno terhadap Najib dalam kes ini, kesannya dapat diminimakan dengan tiadanya gambar Najib selama dua hari di halaman depan akhbar dikuasai Umno itu.

Kemunculan pada hari ini 13 Januari pula membawa satu berita yang tidak berkaitan dengan kes itu, malah memperlihatkan kes itu tidak relevan lagi kepada beliau yang kini memberi tumpuan kepada program pembangunan.

Pada masa sama, laporan muka depan pada 10 dan 11 Januari pula memberi fokus pada Anwar dan penyokongnya, dengan kedua-duanya bernilai negatif.

Tajuk pada 10 Januari memberi implikasi Anwar dilepaskan kerana kekurangan bukti atau tidak dapat didapati bersalah kerana hal teknikal, dan petikan kenyataan Anwar yang keputusan mempunyai kaitan tekanan luar terhadap Najib pula disertakan, kerana potensi kesan negatif kenyataan itu kepada Anwar sendiri.

Tuesday, 10 January 2012

100,000 dijangka hadir Konvensyen Pakatan kali ke-3

Seramai 100,000 dijangka akan hadir pada Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar 14 Januari ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi merangkap Pengarah Sekretariat Konvensyen berkata, pemilihan Kedah sebagai tuan rumah untuk program itu kali ini sangat bermakna kepada seluruh rakyat negeri itu.

Pada konvensyen tersebut, semua tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat akan hadir antaranya Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim kit Siang.

“Konvensyen kali ini bertemakan ‘Bersihkan Malaysia’ dan akan dihadiri oleh semua tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat.

“Ucapan pembukaan akan disampaikan oleh (Menteri Besar Kedah) Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai tuan rumah, kemudian diikuti (Ketua DAPSY) Anthony Loke, (Setiausaha Agung PAS) Datuk Mustafa Ali dan (Setiausaha Agung PKR) Saifuddin Nasution," katanya.

Selain mereka, hadirin juga akan mendengar rintihan suara rakyat dalam slot ‘Suara Hati Nurani Rakyat Malaysia’ yang bakal menampilkan Datuk A. Samad Said sebagai wakil Budayawan, Prof. Dr Aziz Bari sebagai wakil Akademik serta lain-lain termasuk wakil Felda, penjawat awam, NGO, Pemuda & Mahasiswa serta wakil dari Sabah dan Sarawak.

Ucapan penggulungan pula akan disempurnakan oleh pimpinan utama parti-parti dalam Pakatan Rakyat termasuklah Tuan Guru Nik Aziz, Datuk Seri Anwar, Tuan Guru Abdul Hadi, Karpal Singh, Lim Guan Eng dan Azmin Ali.

Pada sebalah malamnya pula akan diadakan program ceramah 'Rapat Rakyat Perdana' yang akan dihadiri pimpinan utama Pakatan Rakyat.

Ianya adalah program kemuncak yang akan bermula dengan solat maghrib berjamaah, solat hajat, kuliah Datuk Dr. Harun Din sebelum mendengar ceramah dari pimpinan utama Pakatan.

Umno bimbang trauma 1999 berulang kembali

 Trauma kerana kehilangan sokongan majoriti orang Melayu pada pilihan raya umum 1999 mungkin menjadi tanda aras kes liwat II tidak menyebelahi pihak pendakwa.
Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Hafiz Musa berkata, Umno/Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan sebahagian besar orang Melayu ketika itu.
“Jika situasi itu berlaku sekali lagi, rejim Umno/BN diyakini akan kehilangan undi majoriti dalam pilihanraya umum akan datang.
“Seterusnya pemerintahan BN di Malaysia pasti akan berakhir,” katanya di sini.
Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap tuduhan kes liwat II setelah pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti menyakinkan.
Oleh itu kata Hafiz Pemuda PAS Kelantan melihat keputusan di luar jangka tersebut sebagai satu perkembangan amat baik terhadap institusi kehakiman negara kerana dibebaskan daripada kongkongan rejim Umno/BN.
Bahkan katanya pembebasan tersebut sewajarnya dilihat sebagai petanda di mana pengamal perundangan berjaya mengikis rasa takut terhadap rejim yang mentadbir negara sekarang.
Sedangkan menurutnya senario itu amat berbeza dengan apa yang berlaku dalam kes liwat 1, di mana institusi kehakiman berada di bawah kongkongan rejim pemerintah.
“Kes tersebut membawa gelombang kebangkitan apabila Dato' Seri Anwar dipenjara mengikut telunjuk pemerintah ketika itu, walaupun pendakwa juga gagal membawa bukti mensabitkan beliau,” katanya.
Oleh itu Pemuda PAS Kelantan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dilepas daripada tuduhan liwat II.
Menurutnya ia dianggap sebagai tamat episod siri fitnah dan permainan politik kotor yang memalukan negara di mata dunia.
“Pembebasan Anwar membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan ke atasnya selama ini hanyalah merupakan fitnah yang direka,” katanya.
Hafiz juga berkata, sudah tiba masanya semua pihak dalam Pakatan Rakyat memfokus gerak kerja menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Selepas Anwar bebas, peluang Najib kukuh imej antarabangsa


Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat membuka lembaran baharu politik negara dan politik imej Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Anwar sendiri mendakwa pembebasannya berkait dengan tekanan antarabangsa ke atas pentadbiran Najib.

Menurut Anwar, seperti dilapor AFP, Najib dipercayai menerima "bisikan daripada pemimpin-pemimpin asing" berkaitan kes liwat Anwar, yang dilihat sebagai satu konspirasi politik.

Najib dijangka menghadapi kos politik yang tinggi sekiranya Anwar didapati bersalah dan dipenjarakan - walaupun pembebasannya juga memberi kesan negatif jangka pendek kepada pemerintah - yang sebahagiannya termasuk reaksi daripada negara dan pertubuhan bukan kerajaan Barat.

Satu agenda utama Najib berkaitan imej antarabangsanya ialah imej Muslim moderat yang cuba dibawa melalui Pergerakan Moderat Global, GMM yang akan dilangsungkan tidak lama lagi.

GMM yang menjadi instrumen baharu dasar luar pentadbiran Najib akan terjejas sekiranya Anwar didapati bersalah atas satu kesalahan yang dilihat bertentangan dengan pendirian moderat di peringkat antarabangsa, lebih-lebih lagi oleh negara Barat.

Najib selama ini cuba menunjukkan sikap moderat dalam banyak hal melibatkan politik tempatan dan anatarabangsa, sehingga pernah mengaitkan sebuah kumpulan Islam di Mesir dengan terorisme.

Usaha terbaharu Najib ini, yang dipertingkatkan selepas imej beliau dipulihkan oleh pembebasan Anwar daripada tuduhan liwat yang dikaitkan dengan konspirasi pemerintah, mampu mendapatkan sokongan yang diperlukan di medan antarabangsa.

Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam satu kenyataan ringkas memuji keputusan mahkamah membebaskan Anwar, yang disifatkan "memberi gambaran positif kepada kebebasan kehakiman di Malaysia."

Anwar bebas, semangat BN terjejas


Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini didapati tidak bersalah dan bebas daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadinya.

Kemenangan yang mengejutkan banyak pihak ini meningkatkan moral Anwar, partinya dan seluruh gabungan pembangkang Pakatan Rakyat.

Anwar memperolehi kemenangan dalam hal melibatkan imejnya yang terjejas ekoran dakwaan liwat ini.

Penegasan Anwar kini bukan hanya disampaikan melalui retorik tetapi telah diputuskan oleh mahkamah.

Kepimpinan dan pengaruh Anwar dalam PR dan sebagai calon utama perdana menteri PR - yang dipersoalkan sesetengah pihak ekoran kemungkinan Anwar dipenjara - ditegaskan dan ditingkatkan lagi melalui keputusan ini.

Pihak musuh politik Anwar daripada Umno memperlihatkan kekecewaan dalam hal ini, yang kelihatan ditujukan kepada Najib sehingga ada yang menggambarkan beliau mencapai satu bentuk persetujuan dengan Anwar.

Walau bagaimanapun, parti pemerintah diketuai Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak juga dapat mengambil manfaat melalui penolakan persepsi parti pemerintah menguasai mahkamah.

Tetapi Anwar dalam satu kenyataan tetap menegaskan kebebasan mahkamah masih belum dapat diputuskan lagi, kerana masih ada proses yang boleh dijalankan.

Penyokong dan pemimpin PR rata-rata menjangka Anwar akan dijatuhi hukuman bersalah dan dipenjarakan bagi memenuhi kehendak pemerintah menyekat pemimpin pembangkang itu.

Keberadaan Najib di luar negara juga mendorong spekulasi senario buruk dibayangkan oleh pembangkang dan penyokong.

Episod baharu ini juga membolehkan BN memberi tumpuan kepada hal lain dan tidak menghabiskan banyak tenaga dalam menjatuhkan seorang individu dalam pembangkang.

Keputusan ini juga mengelak tekanan yang kuat daripada negara-negara dan pertubuhan Barat yang dijangka tercetus sekiranya Anwar didapati bersalah.

Human Rights Watch telahpun memberi respons positif terhadap pembebasan Anwar, dan menegaskan kes itu tidak sepatutnya dibawa ke mahkamah.

DAP juga mendapat manfaat melalui peranan dimainkan oleh Karpal Singh yang mengetuai pembelaan Anwar.

Kelompok liberal di negara ini juga memperolehi manfaat dengan meningkatkan lagi usaha menuntut ruang lebih bebas, termasuk melibatkan penolakan undang-undang yang menolak amalan homoseksual.

Kumpulan Melayu dan Umno dijangka turut mengeksploit isu ini untuk terus menarik undi Melayu, terutama yang disifatkan di atas pagar, dengan mengemukakan isu-isu sensitif dibawa Anwar seperti kedudukan Melayu.

Isu melibatkan Datuk Dr Hasan Ali yang mendakwa dipecat kerana Anwar - yang sedikit tenggelam kerana tercetus sehari sebelum 9 Januari - juga bakal memberi kesan kepada PAS dan politik PR di Selangor dan melibatkan undi Melayu.

Hasan Ali dipecat, apa tindakan Umno?


Datuk Dr Hasan Ali, pemimpin kontroversi PAS dari Selangor akhirnya dipecat hari ini, akibat tindakan beliau yang didakwa membelakangi kepentingan parti.

Hasan yang terbabit dalam kontroversi dalaman ekoran penglibatannya dalam siasatan ke atas sebuah gereja yang didakwa memurtadkan orang Muslim mula dikritik ramai sejak episod itu.

Kemudian, Hasan kembali menjadi perhatian selepas PAS Selangor melalui Saari Sungib mengumumkan yang beliau ditolak oleh ahli dan mungkin tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Hasan kemudian muncul dalam media dikuasai Umno, TV3 dan Utusan Malaysia, membalas kritikan dan meningkatkan profil dirinya.

Tindakan Hasan itu mengaitkan lagi dirinya dengan parti pesaing kepada PAS itu. Hasan sejak 2008 dikaitkan dengan Umno dan didakwa berhasrat menyatukan PAS dan Umno, walaupun parti telah menunjukkan sikap bertentangan.

Dalam permainan persepsi, pemecatan Hasan boleh dimanfaatkan oleh Umno dalam usahanya memperlihatkan PAS sebagai tunduk kepada DAP dan PKR.

Hasan pernah bertembung dengan DAP dan PKR dalam isu pentadbiran negeri Selangor, dan terbaharu, menimbulkan kemarahan PKR apabila menyeru ahli PAS tidak menyertai perhimpunan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari.

Selepas kontroversi gereja, Hasan bergerak aktif dengan pertubuhan Himpun, yang tidak dipersetujui PAS dan mendapat sokongan Umno.

Umno dijangka mengemukakan hujah penglibatan Hasan dalam isu melibatkan umat Muslim terbabit, yang tidak direstui parti sekutu DAP dan PKR sebagai sebab beliau dipecat.

Sebelum ini, usaha mengganti Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai menteri besar Kedah turut dikait dengan pengaruh DAP, yang sering tidak sehaluan dengan dasar dan tindakan kerajaan negeri Kedah pimpinan Azizan.

Isu ini dilihat mampu untuk mempengaruhi orang Melayu - terutama di Selangor - menjadi semakin kritikal dengan PAS yang didakwa oleh Umno menjadi tunggangan DAP dan PKR.

Walau bagaimanapun, dari satu sudut lain, kedudukan Hasan di luar parti mampu mengurangkan kesan negatif kritikannya terhadap PAS dan gabungan Pakatan Rakyat.