Showing posts with label NOVEMBER. Show all posts
Showing posts with label NOVEMBER. Show all posts

Monday, 28 November 2011

RUU Himpunan: Transformasi palsu halal kezaliman

 PAS mengingatkan kerajaan Umno BN bahawa transformasi yang dicanang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mestilah ke arah lebih baik, bukan undur ke belakang.
“Jangan sesekali cuba memperkenalkan transformasi palsu yang berlindung di sebalik akta atau rang undang-undang (RUU) bagi menghalalkan tindakan zalim pemerintah,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man  dalam satu kenyataan.
Katanya, PAS menegaskan pendirian bahawa RUU Himpunan Aman (RUUHA) 2011 mesti ditarik balik kerana mempunyai kecacatan melampau dan ianya tidak langsung memberi gambaran “aman” sebagaimana dicanangkan.
“Rakyat melihat RUU ini adalah gambaran kecelaruan dan kebimbangan parti Umno-BN yang kini berhadapan dengan kebangkitan rakyat.
“Apakah Umno tidak belajar daripada pelbagai akta zalim yang dilaksanakan di Timur Tengah sehingga menyebabkan kemarahan rakyat?” tanya beliau.
Bahkan, ujarnya mereka bangkit bukan sahaja medesak undang-undang dipinda tetapi menumbang terus kerajaan yang zalim itu.
RUUHA, katanya merupakan kebimbangan pemerintah terhadap keputusan yang akan dibuat oleh rakyat dalam PRU13 akan datang, bagi membolehkan kerajaan bertindak menangkap dan menghukum sesiapa sahaja yang berhimpun menunjuk perasaan tidak puashati terhadap tindakan kerajaan.
Rakyat umum perlu disedarkan tentang implikasi RUUHA ini, kerana seandainya ia diluluskan, maka rakyat sudah pasti hampir tidak boleh langsung berhimpun bagi meluahkan bantahan terhadap sebarang isu-isu yang tidak berpihak pada kerajaan Umno BN walaupun ia jelas menindas mereka, ujarnya.
“Ingatlah, kemarahan rakyat tidak akan dapat disekat dengan undang-undang. Ambillah pengajaran daripada sepucuk surat yang dihantar oleh Saidina Umar bin Abdul Aziz tatkala beliau menerima permohonan peruntukan kewangan bagi membuat benteng untuk menyekat sekumpulan golongan pemberontak,” ujarnya.
Jelasnya, kata Umar bin Abdul Aziz: "Bentenglah kemarahan rakyat kamu dengan keadilanmu, payungi rakyatmu dengan kasih sayangmu, kerana itu lebih baik dari kamu membina benteng besi menyekat kemarahan rakyatmu”.

Sunday, 27 November 2011

Wasatiyyah kempen imej antarabangsa Najib
















Wasatiyyah, kempen baharu pentadbiran Najib ialah usaha terbaharu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dalam membina imej antarabangsa sebagai pemimpin Muslim moderat, imej yang diharapkan untuk mengukuhkan kedudukan dan mendapat kepercayaan Barat.

Walaupun ada yang melihat konsep itu sebagai satu ide baharu yang merupakan reaksi kepada kempen 1 Malaysia sebagai persediaan menghadapi pilihan raya, wasatiyyah mengukuhkan lagi gagasan moderat yang diusahakan Najib sejak mula menjadi perdana menteri pada 2009.

Kenyataan-kenyataan Najib sebelum ini, antaranya melibatkan isu gerakan politik Ikhwan al-Muslimin di Mesir dan laporan kematian Osama bin Laden telah menampakkan sikap yang cuba ditunjukkan oleh Najib itu.

Kempen ini sebahagiannya boleh dijelaskan oleh perkembangan politik semasa, iaitu posisi kerajaan Barisan Nasional ditunjangi Umno yang semakin lemah dan kelihatan mengharapkan sokongan dan kepercayaan kuasa-kuasa Barat.

Pemerintah kini bersaing dengan gerakan pembangkang untuk memperlihatkan diri sebagai kuasa demokrasi liberal yang boleh dipercayai untuk menerajui Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan seminar membincangkan ide wasatiyyah baru-baru ini, bersempena perhimpunan agung Umno, parti terbesar dalam gabungan membentuk kerajaan pusat.

Dua pengumuman penting penubuhan sebuah gerakan moderat oleh Najib di peringkat antarabangsa dilakukan di Amerika Syarikat.

Januari tahun depan, Gerakan Moderat Global (GMM) dijadual dilancarkan di Malaysia, setahun selepas Najib mengumumkan gagasan ini di New York.

Najib mengumumkan pelancaran GMM dalam satu majlis di East-West Center, Honolulu, Hawaii, lokasi sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, Apec, pertengahan November.

Perkembangan terbaharu ini berpotensi menambahkan imej positif Najib, yang berjaya menjadi Apec - yang tahun ini menyaksikan Presiden AS Barack Obama menjadi tuan rumah - satu platform melonjakkan satu agenda dasar luarnya.

Najib telah menunjukkan usaha merapatkan beberapa dasar seperti nuklear, hak asasi dan terorisme dengan pendirian kuasa-kuasa besar, yang dilihat sebagai usaha untuk memenangi sokongan dalam persaingan dengan pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan Najib dengan Obama membincangkan isu nuklear, penggubalan akta keselamatan baharu yang didakwa bermodelkan Akta Patriot AS merupakan beberapa perkara yang memberi gambaran hubungan terkini pentadbiran Najib dengan Washington.

Era kebangkitan rakyat, bagaimana Malaysia?


Revolusi Global: Dunia Dalam Era Kebangkitan Rakyat (2011)
Oleh Haris Zalkapli
Buku Harakah, RM15.00.

Buku terbaharu terbitan Harakah, Revolusi Global: Dunia Dalam Era Kebangkitan Rakyat, membawa isu protes rakyat yang menjadi trend sedunia pada masa ini, hingga dirasai kesannya di Malaysia.

Buku menghimpunkan artikel isu kebangkitan rakyat yang sedang berpusat di dunia Arab. Mengulas isu-isu serantau dunia Arab sejak 2009, ketika kebangkitan berlaku di Yaman, dan tahun berikutnya di Bahrain.

Mengandungi analisis krisis dan konflik serantau dan kedudukannya dalam percaturan serantau melibatkan persaingan Arab Saudi dan Iran, agenda Turki, Qatar dan kuasa besar Barat.

Turut menimbulkan persoalan peranan internet, media baharu dalam kebangkitan dan konteks tempatan; potensi "revolusi" berlaku di Malaysia.

Wednesday, 16 November 2011

Ku Li, dari team B ke plan B


Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Umno mewakili Gua Musang di Kelantan memunculkan semula dirinya dalam politik negara, memperlihatkan ketahanan ahli politik veteran ini.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ku Li ialah seorang daripada dua orang yang pernah mencabar presiden Umno, dan kini masih lagi bersama parti itu.

Dibandingkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang rancangannya menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998 tidak berjaya, Ku Li tidak berdepan akibat seperti yang dihadapi Anwar, dan masih dapat diterima dalam Umno.

Pada masa yang sama, Ku Li berjaya menunjukkan diri sebagai tokoh yang berpengaruh - walaupun semua tidak sependapat dalam hal ini - di kedua-dua belah garis politik membahagikan kumpulan terbesar, dan diambil kira dalam rancangan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara sejak rancangan 16 September pada 2008.

Menjelang 11 September, 2008, Ku Li pernah disebut-sebut akan menyertai gabungan pembangkang dan bersama merampas kerajaan pusat daripada Barisan Nasional.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, Ku Li sekali lagi menjadi tumpuan ekoran gerakannya sejak beberapa bulan lalu, sehingga disebut-sebut ditawar untuk menggantikan Anwar sekiranya ketua pembangkang itu dipenjara.

Ku Li kini melalui Angkatan Amanah Merdeka terus cuba meletakkan diri di kedudukan yang penting kepada kedua-dua pemerintah dan pembangkang Pakatan Rakyat.

Beliau sememangnya menjaga hubungan baik dengan PAS yang menguasai Kelantan, dan bersama dalam menuntut royalti minyak, satu perjuangan penting PAS Kelantan.

Ekoran rasminya penubuhan Amanah, Ku Li kelihatan cuba menjarakkan diri daripada Umno, dengan cuba mengambil satu ruang tengah yang berpotensi membolehkan beliau meningkatkan kepentingan kepada kedua-dua pemerintah dan PR.

Pilihan bergerak melalui Amanah kelihatan menjadi pilihan terbaik Ku Li, dengan memperlihatkan tidak sepenuhnya sehaluan dengan Umno yang dinilai dalam keadaan kritikal dan pada masa sama tidak menyertai PR dan mencetuskan rasa kurang senang ramai pemimpin yang bersaing untuk mendapat kedudukan.

Ku Li kini menjadi pemimpin paling senior dan mungkin paling mudah menjadi pilihan kompromi untuk menjadi perdana menteri dalam kes senario Anwar dipenjara dan BN berdepan situasi lebih buruk berbanding 2008, kerana agak kurang mencetuskan pertentangan berbanding beberapa tokoh lain.

Berbanding pemimpin-pemimpin lain juga, Ku Li mungkin yang paling bercita-cita besar dan paling bersedia untuk berjuang mendapatkan kedudukan perdana menteri.

Aktiviti Ku Li bersama Amanah kini boleh dilihat sebagai tempoh paling aktif dan agresif beliau untuk menempatkan diri di posisi kuasa selepas episod mencabar Mahathir pada 1987 dan tewas.

Kemunculan semula Ku Li dengan tawaran baharu kini menggambarkan kesediaannya untuk sekali lagi berusaha mencapai impian kuasanya, yang pertama kali dilakukan pada 1987.

Ku Li, ekoran perkembangan ini, berpotensi menjadi pelan B kepada rancangan pakatan pembangkang merampas Putrajaya di bawah pimpinan Anwar, sekiranya PR menerima beliau sebagai sekutu, sekiranya situasi memerlukan nanti.

Monday, 14 November 2011

kepentingan Usrah..

Apabila kita menyebut wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa'I (sedar) dan waqi'I (realistic). Kita hendaklah sedar bahawa kita ialah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksimum mungkin untuk memanggil dan mengajak, bukan untuk berebut mahupun memaksa. Dalam hal ini, dua wasilah kita gunakan, iaitu wasilah umum dan wasilah khusus.
Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk menyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah sama ada dengan lisan, tulisan mahupun dengan qudwah hasanah (contoh teladan yang baik). Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh) dan apa itu aqidah yang benar. Kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.
Kita mengadakan majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan majlis-majlis lain yang boleh kita sampaikan mesej Islam. Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta'rif (pengenalan) yang kandungan utamanya ialah Islam dan iman, bukannya perkumpulan. Hanya apabila telah diyakini bahawa mad'u (sasaran dakwah) dapat menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan usaha kita kepada wasilah khusus.
Dalam wasilah khusus, konsep 'amal jama'i ialah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan. Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu dilalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (pelaksanaan).
Dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenal pasti dan yang dapat menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa'id Hawwa sebagai nizam al-da'wah yang berbentuk sufi pada rohnya dan ketenteraan dalam amalannya, yang syiarnya ialah perintah dan taat.
Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berada dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja. Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan kader yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan. Di sini beberapa pengorbanan diperlukan dan pengorbanan akan merupakan sebab kepada peningkatan iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.
Marhalah al-tanfiz, marhalah kedua, ialah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani. Dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keikhlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.
Banyak orang yang boleh berteori dan banyak orang pula yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang banyak itu akan sanggup menanggung berbagai-bagai mehnah dan ibtila' (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.
Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangan yang didatangkan oleh manusia sama ada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.
USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIAH HARAKIAH
Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.
Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Proses pembentukan itu bermakna makna penekanan dan perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh. Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.
Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan 'amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasI oleh kebatilan yang kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.
PENTADBIRAN USRAH
Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas--jangan sampai ke peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap aspek Islam. Kepelbagaian boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.
  • Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:
  • Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.
  • Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program tarbiah.
  • Dirancang dengan rapi dari semua sudut. Dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba' dan ahli.
Antara ciri keberkesanan sesuatu usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan dengan sempurna:
  • Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam? Sejauh mana konsep al-ta'awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam? Sejauh mana ikatan dibentuk? Sejauh mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?
Akhirnya marilah kita sama-sama membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za'imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur'an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).
Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.

Friday, 11 November 2011

Semakin Jauh Kita Dari-Nya,Semakin Dekat Dia Dengan Kita..





Bismillah...
Alhamdulillah Wa Syukurilah..
terdetik dihati nak sambung 'menconteng' kat blog ni..hehe...
setelah melalui minggu-minggu yang sukar..tercari-cari ketenangan yang dapat mendamaikan hati ini.

Sem lepas banyak bagi pengajaran paling berguna dalam hidup.teringat kata-kata semangat dari rakan..."pengajaran adalah guru terbaik dalam hidup"..benar..tak dapat dinafikan..sebab tu lah ada ayat yg mengatakan bahawa "kegagalan itu adalah kejayaan yang 'tertangguh'"..

Pada saat kita bersedih..kita pasti merasa kecewa dengan keadaan yang serba tak kena..malahan pernah juga kita merasa kita tidak dipedulikan.kita rasa bagai tiada yg membantu..dan adakala kita menyatakan bahawa Allah tidak membantu kita..ini kerana setiap hari kita berdoa namun masih buntu dan masih tidak dapat apa yang dipohon..

ayuh.tepuk dada,tanya iman..

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu. Boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagimu. Dan (ingatlah), Allah jua yang Maha Mengetahui (semua itu) sedang kamu tidak mengetahuinya." al-Baqarah : 216

Kita merancang,Allah juga merancang..sesungguhnya,perancangan Allah adalah lebih terbaik dari kita yg hanya sebagai hambaNya..

Mungkin doa kita tidak termakbul sekarang..tetapi ia akan termakbul kelak..Allah maha mengetahui..segala yg berlaku adalah atas kehendakNya dan ada hikmahnya..

Suka untuk menyatakan bahawa kita haruslah bersangka baik dgn Allah..kita hanyalah makhluk ciptaanNya..hidup ini indah..kemanisan kebahagian serta ketenangan dalam kehidupan ditentukan dengan cara kita beribadah serta beramal..boleh jadi tatkala kita lalai diuji..kita sering terlupa Allah sedang memerhati..

Cuba kita andaikan sekiranya Allah itu tidur seperti kita..apa akan terjadi..?? naahh..Allah itu tidak tidur..dan tidak ber-anak..ibarat lampu isyarat yang tiada punca elektrik..yang akhirnya menghuru-harakan situasi dan tidak dapat membantu kelancaran traffik di sebuah persimpangan yang akhirnya menyebabkan pertembungan dan mampu membahayakan nyawa-nyawa sang makhluk bernama manusia..

Semakin jauh kita dariNya,Semakin dekat Dia dengan kita..

Dalam berdoa..teringat pula pada kata-kata seorang pakar motivasi yg terkenal di Malaysia..beliau menyatakan "mungkin kita berdoa hanya 99 kali,,tetapi ditakdirkan bahawa doa itu akan dimakbulkan setelah kita berdoa 100 kali,Allah maha mengetahui"..ini menunjukkan bahawa usaha itu penting..usaha secara terus menerus tanpa henti..

Tetapi kerap kali kita rasa kecewa kerana doa tidak dimakbulkan..ini sering menyebabkan kita sering lali/serik nak berdoa..

Bukan Allah tidak mendengar kita..tetapi Allah mahu menguji kita..sejauh mana kita berdoa,sejauh mana kita berusaha..ibarat yang dikatakan tadi,kita harus berusaha terus menerus tanpa henti..tanpa kenal perkataan "mengalah" atau bak kata orang putih "Give up"..hoho..
InshaAllah..Allah akan sentiasa memberi petunjuk pada kita satu hari nanti..sebab tu lah..segala yang berlaku ada hikmahnya..mungkin kita rasa kita mahukan sesuatu yg berharga..tetapi ianya buruk untuk kita (mungkin barang itu boleh memudaratkan kesihatan,mungkin juga barang itu boleh melalaikan kita dari melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang mukmin/khalifah di muka bumi ini).

Jadi ayuh kita koreksi diri.sesungguhnya Allah juga merancang.bertaqwalah.kita sebagai hambaNya perlu senantiasa berdoa dan bertawakal segala yang baik untuk diri kita..(pesanan untuk diri sendiri jugak..huhu)
Jom bersangka baik dengan Allah..:)

MODUL PROGRAM KEM SMART SOLAT








'Melentur buluh biarlah dari rebungnya'begitulah pepatah yang amat sinonim dengan pendidikan Solat bagi anak di peringkat awal. Solat merupakan tiang agama, bayangkan rumah tanpa tiang sudah tentu ia akan roboh dan musnah pada bila – bila masa. Oleh itu generasi muda khususnya anak - anak diperingkat sekolah perlu diberikan penekanan tentang kepentingan solat dalam kehidupan.


Modul Program SMART SOLAT Sesuai Untuk Di Laksanakan Pada Musim Cuti Sekolah.
Sesuai untuk dijalankan kepada para remaja bermula dari peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah.

Modul ini bertujuan untuk ;-


1. Memberi kefahaman kepada generasi muda tentang kepentingan Ibadah solat.
2. Menanam semangat berjemaah dikalangan generasi muda.

3. Memperkenalkan konsep SMART dalam kehidupan remaja muslim.

Sesuai untuk :
1. Guru -guru sekolah
2. Syarikat Perunding Latihan
3. NGO Islam
4. Individu yang berminat

Kandungan mengandungi 8 bab utama iaitu Taaruf, SMART, Wudhuk, Solat, Azanadan Iqamah, Soalan - soalan praktikal dan ujian kefahaman pelajar.

Modul ini amat praktikal dan merangkumi semua aspek dalam usaha membudayakan solat dalam kehidupan remaja Islam.


Harga RM 60.00 kos penghantaran percuma
sila sms kepada 0168487317 Abu Muadz
Bayaran Boleh dibuat Setelah CD Diterima di tangan anda !
Tempah sekarang dengan borang dibawah ..

BORANG LANGANAN

Tuesday, 8 November 2011

Siapa sebenarnya politikkan Seksualiti Merdeka?



Acara kempen kesedaran hak gay, Seksualiti Merdeka menjadi satu lagi isu yang memperlihatkan perbezaan politik yang menjurus kepada perpecahan Melayu Muslim di Malaysia, ketika umat sedang melalui musim haji.

Kedua-dua parti politik Melayu Muslim, PAS, Umno dan penyokong mereka, memperlihatkan kecenderungan menggunakan isu itu sebagai kempen politik.

Umno jelas sekali lebih didorong untuk mengecam program dan gaya hidup itu disebabkan penglibatan Datuk Ambiga Sreneevasan yang mengetuai Bersih 2.0 yang digerakkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

Tetapi perlu diakui hal ini bukan satu-satunya faktor mendorong Umno menyatakan pendirian yang tegas itu. Sebagai parti yang konservatif, penentangan itu sememangnya kena dengan pendiriannya.

Penegasan pendirian Umno yang menentang gaya hidup gay itu juga dapat dimanfaatkan untuk memberi tumpuan kempen negatif terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan aktivis liberal yang aktif dalam PKR.

Kempen negatif terhadap Anwar dan PKR itu menjadi salah satu isu utama yang dimainkan oleh Umno terhadap musuh politik mereka itu, terutama ekoran kes melibatkan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang menjejaskan ketua PKR itu.

Lebih memberi poin politik kepada Umno ialah tindakan Anwar dan partinya berdiam diri, atau tidak bercakap selantang pihak lain terutama rakannya dalam PR, PAS.

Pada masa sama, Umno dan penentang Anwar menimbulkan kembali satu kenyataan Anwar berhubung homoseksualiti yang menegaskan golongan itu tidak sepatutnya didiskriminasi, kenyataan yang boleh dibaca sebagai pendirian yang mesra gay.

Sebagai parti berideologi liberal, PKR tidak dapat memperlihatkan penentangan terhadap gaya hidup itu, untuk mengelakkan daripada kelihatan bermuka-muka atau membelakangi perjuangan hak asasi manusia.

Tahun ini juga menyaksikan tindakan tegas oleh pihak polis dan pemerintah terhadap acara kempen gay itu, yang disebabkan profil lebih tinggi dinikmati acara itu ekoran perhatian ramai ekoran kaitannya dengan pembangkang.

Hal ini telah memberi modal kepada PAS untuk mengalihkan tumpuan kepada kerajaan Barisan Nasional dikuasai Umno, dengan menyatakan pemerintah membiarkan acara itu berlangsung sebelum ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dilapor berkata pemerintah membenarkan acara itu berjalan sebelum ini, dalam satu kenyataan yang dilihat sebagai usaha mengalihkan tumpuan kepada Umno.

Hakikatnya, sejak 2008, acara itu diadakan secara tidak terbuka, tidak seperti tahun ini yang melibatkan kempen meluas melalui media baharu.

PAS sendiri hanya mula menyatakan penentangan secara lantang pada tahun ini, sama seperti Umno yang didakwa berdiam diri itu.

Sebelum Mahfuz, Salahuddin Ayub, seorang lagi naib presiden memulakan usaha mengalih perhatian daripada PAS kepada pihak lain dengan mengaitkan Majlis Fatwa Kebangsaan, yang dalam kenyataannya didesak mengeluarkan fatwa menghalang acara itu.

Dewan Muslimat PAS turut melakukan usaha yang sama, dengan menyatakan kerajaan hanya bertindak terhadap Seksualiti Merdeka kerana acara tahun ini melibatkan Ambiga.

Dalam keadaan defensif dan terdesak menyelamatkan diri, PAS - kecuali Dewan Pemuda yang mengeluarkan kenyataan lebih jelas dan tegas - telah terlibat dalam satu permainan politik murahan dengan kenyataan-kenyataan itu, yang bermatlamat sekadar menyelamatkan diri dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain.

Sebenarnya PAS hanya perlu menyatakan pendirian yang tegas dan jelas berhubung isu itu, tanpa memperlihatkan keadaan terdesak dan bermain politik dengan mengalihkan perhatian kepada pihak lain dengan cara yang tidak sewajarnya.

Isu yang menyentuh sensitiviti dan maruah umat itu kelihatan telah dibiarkan berlalu dengan hanya memberi perhatian kepada unsur politik kepartiannya.

PAS, sebagai contoh, boleh menjawab dengan menegaskan sokongan kuat untuk usaha reformasi pilihan raya, dengan tidak menjadikan Ambiga atau sesiapa sahaja sebagai isu. Sokongan untuk Bersih 2.0 boleh ditegaskan sebagai sokongan kepada usaha membersihkan proses pilihan raya dan bukan sokongan untuk Ambiga.

PAS telah terpalit dengan implikasi negatif acara itu disebabkan hubungan parti itu dengan Ambiga. Hal ini tidak dapat dielakkan walaupun hubungan seperti itu tidak cukup untuk membuktikan perkongsian pandangan tentang sesuatu isu.

Tetapi umum mengakui bahawa persepsi mempunyai pengaruh yang besar dalam medan politik, dan boleh menjadi cukup untuk dijadikan asas pembuatan keputusan sesetengah ahli masyarakat.

PAS perlu mengambil pengajaran daripada episod ini, dengan menyiapkan pendirian tegas dalam pelbagai isu mencabar dalam suasana yang disebut "politik baharu" masa kini.

Isu hak asasi manusia yang terkandung di dalamnya orientasi seksual, hak beragama dan mengamalkannya dan banyak lagi hal yang divisif akan menjadi satu topik besar dalam politik tempatan.

Semua pihak, sama ada pembangkang atau pemerintah tidak akan dapat lari daripada perdebatan isu kritikal tersebut.

Suasana semasa, dan pada masa akan datang, akan menyaksikan pertembungan lebih terbuka dan getir melibatkan pandangan dunia dipegang oleh PAS dan pihak lain, melibatkan pelbagai jenis ideologi dan falsafah.

PAS, atau mana-mana parti politik tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak dengan bercakap dalam pelbagai bahasa yang berbeza kepada kelompok yang berbeza.

Sesebuah parti boleh mempunyai elemen yang lebih liberal atau lebih konservatif secara relatif berbanding arus perdana parti, tetapi tidak akan dapat diterima sepenuhnya oleh dua kumpulan yang ekstrem pertentangannya.

Dalam hal-hal yang kritikal melibatkan pegangan utamanya sebagai sebuah parti Islam seperti yang dijelaskan dalam perlembagaan, PAS perlu menzahirkan pendirian dengan tegas.

Umno pejuang utama PPSMI?



Berita terkini berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) memanaskan lagi suasana politik negara yang sedang menanti Pilihan Raya Umum ke-13.

Isu ini jelas sekali dipolitikkan untuk memperlihatkan ketegasan Umno yang menguasai pemerintahan negara menamatkan dasar yang tidak popular itu.

Baru-baru ini, ekoran pengumuman menteri pelajaran, dua akhbar harian dikuasai parti pemerintah, satu dalam bahasa Melayu dan satu lagi dalam bahasa Inggeris bercakap dalam bahasa masing-masing kepada audiens masing-masing.

Akhbar berbahasa Melayu tersebut, Utusan Malaysia, mengumumkan berakhirnya dasar PPSMI, manakala akhbar berbahasa Inggeris yang kuat memperjuangkan PPSMI, The Star membawa sisi kejayaan perjuangan pro-PPSMI.

Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan pada 4 November lalu menegaskan kerajaan tidak akan melaksanakan semula PPSMI, dan pemansuhan dasar itu kekal.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu sepenuhnya hanya akan terlaksana pada 2012 untuk sekolah rendah dan 2021 untuk sekolah menengah.

Hal ini sebenarnya menjadikan isu utamanya bukan pemansuhan PPSMI, tetapi penangguhan pemansuhan PPSMI. Penegasan PPSMI tidak akan dilaksanakan semula hanyalah hal sampingan untuk dijadikan berita utama oleh media pemerintah berbahasa Melayu.

Isu ini kini menjadi satu lagi beban kepada Umno, yang kredibilitinya berhubung memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu semakin terjejas.

Pada 7 Mac, 2009, satu demonstrasi besar-besaran menentang PPSMI diadakan di ibu negara, dihadiri dan disokong ribuan peserta, termasuk tokoh seni dan akademik.

PPSMI diumumkan akan dimansuhkan ekoran tentangan popular terhadap dasar yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad itu, membuktikan perkiraan politik pilihan raya tindakan pemerintah itu.

Hal ini lebih jelas ekoran tindakan PAS merapatkan diri dengan perjuangan bahasa Melayu, sehinggamemberikan anugerah kepada A Samad Said yang aktif dalam menentang PPSMI.

Mahathir kini masih menjadi satu suara pro-PPSMI yang lantang, dan dipercayai memberi kesan terhadap sikap kerajaan, terutama Muhyiddin yang mendapat sokongan bekas perdana menteri itu.

Hakikatnya, sejumlah besar pemimpin Umno dan ahli keluarga mereka merupakan sebahagian elit di negara ini yang lebih selesa dengan bahasa Inggeris dan memberi penilaian yang rendah terhadap bahasa Melayu, yang terbukti antaranya melalui sokongan kuat mereka terhadap PPSMI sejak dimulakan.

Wednesday, 2 November 2011

PRU 13 pada 9 Disember 2011?

Spekulasi bertiup kencang bahawa  pilihan raya umum Malaysia akan diadakan dengan tergesa-gesa pada 9 Disember nanti. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang kini berada Mekah mengerjakan haji, dijangka akan membubarkan Parlimen sebaik sahaja dia kembali pada 9 November.


"Satu bulan adalah cukup untuk SPR menyediakan segala-galanya . Mereka seharusnya sudah pun bersedia . Itu pun jika Najib mendapat inspirasi selepas mengerjakan haji. Jika tidak, maka PRU akan diadakan pada tahun depan," kata  pemerhati  Umno kepada  Malaysia  Chronicle.
Kepada mereka yang mengikuti teka-teki mengenai tarikh PRU ke 13,  ini adalah sesuatu yang mengejutkan. Ramai yang menjangka ia akan berlaku pada bulan  November kerana Disember selalunya musim hujan lebat. Dan apabila jelas PRU tidak mungkin berlaku pada bulan November, jangkaan seterusnya adalah bulan Mac atau April 2012.
Sebuah kejutan yang basah untuk Pakatan?
Tetapi ada  yang mengatakan bahawa terdapat beberapa isyarat yang dinantikan oleh Najib. Yang paling penting adalah unsur kejutan terhadap musuhnya  Anwar Ibrahim dan parti pembangkang Pakatan Rakyat . Yang kedua adalah hujan yang boleh menjadikan jumlah mengundi rendah dan ini akan memihak kepada BN yang tidak popular.
Pakatan jauh lebih bersedia kali ini, berbanding dengan tahun 2008 apabila mereka menyapu bersih 5 daripada 13 negeri di negara ini.  Walau bagaimanapun, Pakatan menjangkakan  penipuan undi besar-besaran dan dengan ini mereka tidak berupaya memeriksa di kebanyakkan tempat seperti yang merka mahu sebelum pergi mengundi.
Pakatan juga boleh membuat keputusan menentang kemahuan Najib dalam membubarkan dewan undangan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan supaya dapat memberi fokus dengan lebih kepada negeri-negeri lain.
Secara teknikalnya, mandat untuk memerintah tidak berakhir sehingga selepas Mac 2013.
"Kami harus bersiap sedia kalau tidak, ia ibarat membunuh diri. Tetapi secara peribadi, saya masih fikir Najib akan menunggu sehingga 2012 selepas sogokkan daripada Bajet dan wang tunai telah diedarkan sebelum membubarkan Parlimen," kata Naib Presiden PKR Tian Chua kepada Malaysia Chronicle.

PAS tentang kempen gay Seksualiti Merdeka


PAS mula menyuarakan tentangan terhadap kempen kebebasan seksual Seksualiti Merdeka, menegaskan lagi tentangan parti itu terhadap gaya hidup gay ketika isu protes konsert penyanyi gay Elton John masih panas.

Sayap pemuda parti itu dalam satu kenyataan hari ini menegaskan penolakan terhadap gaya hidup itu dan menggesa agar isu itu tidak diperjuangkan di negara ini.

Menurut ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, amalan itu bertentangan bukan sahaja dengan agama Islam malah juga agama lain dan norma masyarakat tempatan.

"Kebebasan bukan bermakna manusia bebas melakukan apa sahaja sehingga bertentangan dengan fitrah dan agama.

"Kalaupun seseorang tidak beragama sekalipun, akal yang masih dimiliki tidak mungkin membenarkan manusia melakukan apa sahaja di atas tiket kebebasan. Sebaliknya manusia mesti hidup berteraskan peraturan-peraturan tertentu yang mengikat komitmen dirinya agar tidak terbabas dari kebaikan dan kemuliaan," kata Nasrudin dalam kenyataan itu.

Kenyataan tegas ini dilihat sebagai usaha PAS menangani implikasi yang tercetus ekoran penglibatan pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreneevasan dalam program itu. Beliau dijadual merasmikan program tahunan komuniti gay itu yang berlangsung sehingga pertengahan bulan ini dan diikuti tidak lama selepas itu oleh konsert Elton John.

Sejak semalam, penentang PAS menjadikan isu penglibatan aktivis hak asasi Ambiga dalam program itu untuk mengecam PAS yang didakwa terkait sama dan mendiamkan diri dalam hal ini kerana menyentuh sekutunya.

Isu ini dijangka akan terus mendapat perhatian musuh politik PAS dan parti-parti pembangkang. Blog-blog pro-Umno dan kumpulan propemerintah dijangka menjadikan isu ini untuk meningkatkan kempen negatif terhadap PAS.

Ahli Parlimen bebas Zulkifli Noordin dalam tulisan di blognya semalam mengecam keras pembangkang dan turut mengaitkan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kecenderungan seksual itu.

PAS menjadi penyokong utama himpunan Bersih kedua diketuai Ambiga di ibu negara Julai lalu tetapi menolak menyertai Himpunan Sejuta Umat di Shah Alam akhir bulan lalu, mencetuskan dakwaan PAS mengutamakan kepentingan politik berbanding hal lain yang menyentuh kepentingan agama.

Sebelum ini, naib presiden parti itu Salahuddin Ayub dilapor mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa melarang penganjuran Seksualiti Merdeka, tindakan yang dilihat cuba mengalihkan tumpuan kepada pihak berkuasa agama.

Salahuddin juga dilapor berkata gaya hidup itu bertentangan dengan semua agama dan memberitahu PAS akan mengadakan perbincangan dan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu itu.

Isu kelompok ini, melibatkan lesbian, gay, biseksual dan transgender, menjadi salah satu isu hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh liberal di negara ini yang semakin berpengaruh dan lantang.

Pemuda PAS, Elton John dan tuntutan hak gay


Pemuda PAS sekali lagi terlibat dalam debat panas melibatkan golongan gay ekoran kecaman sayap parti Islam itu terhadap konsert penyanyi gay Elton John.

Pemuda PAS dikritik bekas mufti Perlis yang popular, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai tidak bersikap matang dalam hal ini dan berkecenderungan seperti Taliban yang pernah menguasai pemerintahan Afghanistan.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan mengecam pandangan Asri itu yang disifatkan keterlaluan kerana cuba menyamakan PAS dengan Taliban yang menggunakan pendekatan keras.

Pemuda PAS mengambil sikap menolak hiburan yang dianggap membawa unsur negatif terutama kepada masyarakat Muslim Malaysia, dan giat menyatakan pandangan ini, menyentuh hasil seni popular termasuk filem.

Selain PAS, konsert penyanyi gay itu turut dikecam oleh Ikatan Muslimin Malaysia, Isma, yang memberi peringatan tentang usaha menyebarkan gaya hidup gay di Malaysia.

Tentangan Pemuda PAS terhadap konsert Elton John yang dijadual hujung November di Genting Highlands, Pahang, ialah yang kedua mencetuskan berita besar di negara ini berhubung isu gay, selepas bantahan konsert Adam Lambert tahun lalu.

Malaysia mendapat perhatian ekoran debat yang dicetuskan oleh pertembungan yang disebabkan oleh kebangkitan gay masa kini.

Mac lalu, penyanyi Lady Gaga mengkritik penapisan lagu tema gay nyanyiannya, Born This Way, dan menggesa peminatnya bangkit menyatakan bantahan.

"Anda mesti lakukan segala yang termampu sekiranya mahu dibebaskan oleh masyarakat anda, anda mesti mendesak, jangan berhenti dan mesti memprotes secara aman," penyanyi itu dilapor berkata.

Ogos lalu, seorang paderi gay berasal dari Malaysia, Ouyang Wen Fang yang menetap di Amerika Syarikat berkata akan mengadakan majlis perkahwinannya dengan seorang lelaki warga AS di Malaysia tahun depan, walaupun berdepan kecaman dan amaran.

Malaysia menyaksikan peningkatan aktiviti golongan gay dan kecenderungan seksual lain - yang diistilahkan sebagai LGBT; lesbian, gay, biseksual dan transgender - sejak beberapa tahun lalu, sebagai sebahagian peningkatan kesedaran terhadap hak asasi manusia yang bersumber Barat.

Salah satu aktiviti paling terbuka ialah Seksualiti Merdeka, acara tahunan melibatkan forum, ceramah dan pelbagai aktiviti seni yang diadakan secara konsisten sejak 2008.

Acara ini yang merupakan platform golongan gay menyebarkan publisiti tentang mereka dan menegaskan tuntutan hak mendapat sokongan pelbagai kumpulan, termasuk Majlis Peguam, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Tenaganita dan Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO).

Tahun ini, "pesta kebebasan seksualiti" ini dijadual diadakan pada 1 hingga 13 November di Pasar Seni, dengan perasmian oleh Datuk Ambiga Sreenevasan, aktivis hak asasi yang dipopularkan oleh himpunan Bersih 2.0 pada Julai lalu.

Acara yang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran hak kebebasan seksual itu pada tahun ini bertema Queer Without Fear, sebagai ekspresi menentang apa yang disifatkan sebagai homofobia dan diskriminasi terhadap golongan itu oleh masyarakat.

"Rakyat Malaysia kelihatan berani sejak beberapa tahun lalu. Kita telah menuntut pilihan raya yang bebas, keadilan, demokrasi. Ingatlah demokrasi bukan hak milik majoriti sahaja, atau yang berkuasa, atau yang paling lantang. Demokrasi milik semua," tegas gerakan itu sebagai kenyataan sempena Seksualiti Merdeka 2011.

Hal ini telah menampakkan implikasi yang luas, terutama melibatkan pertembungan kelompok konservatif dan liberal yang kini dapat diperhatikan bukan hanya dalam ruang politik.

Elemen gay kini semakin mudah kelihatan dalam budaya popular, termasuk karya-karya sastera, filem dan seni persembahan.

Perkembangan ini bakal menjadi satu isu kritikal dalam sosio-politik negara, menyaksikan pertembungan lebih keras dan menampakkan lagi kecenderungan ideologi dalam medan politik negara.

PAS ada 500 cyber troopers?


Pada 22 Oktober lalu, PAS mengadakan konvensyen media baharu dan teknologi maklumat di Taman Melewar, Gombak.

Laporan sebuah portal berita, yang tidak tepat dan memperbesarkan program itu memberi gambaran PAS sedang menyediakan 500 tentera siber untuk melawan kebangkitan tentera siber Umno.

Dalam suasana menjelang pilihan raya umum kini, berita seperti ini mudah untuk diperbesarkan, dan dilihat sebagai lebih besar berbanding apa yang sebenarnya.

Program tersebut lebih kepada persiapan melibatkan pekerja-pekerja teknologi maklumat bersifat teknikal berbanding penulis atau pengendali blog seperti yang digambarkan oleh laporan portal tersebut.

Blog-blog Umno mengulangi apa yang disebut oleh laporan portal itu, yang PAS sedang mempersiapkan 500 tentera siber melawan jentera media baharu Umno yang kini menguasai dunia blog politik tempatan.

Laporan itu sebenarnya mendedahkan sesuatu yang sukar diterima dan dilaksanakan, yakni jumlah tentera siber sehingga mencapai 500 orang.

Sekiranya diperhatikan dunia siber sejak seminggu lepas, belum kelihatan apa yang digembar-gemburkan itu. Sekiranya 500 tentera siber itu sudah bergerak, akan dapat dirasai pergerakan mereka itu,kerana 500 ialah angka yang besar.

Malah, sekiranya jumlah sebenar - jika ada tentera siber ini - jauh lebih kecil, misalnya 100, pergerakannya tetap akan dapat dirasai.

Hakikatnya, tentera siber PAS masih lagi bukan seperti yang dilaksanakan oleh Umno, dengan sekumpulan penulis blog yang didedikasikan untuk bergerak di barisan hadapan perang siber.

Selain media rasmi parti, perang siber PAS dilaksanakan secara sukarela oleh aktivis parti dan penyokong melalui blog dan media sosial seperti Facebook.

Mungkin disebabkan sifat sebagai parti pembangkang, tentera siber PAS masih bergerak secara bebas dan bersendirian tanpa sebarang usaha konkrit untuk menyusun gerakan mereka secara sistematik.