Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan Perdana Menteri
sebagai "tidak faham" konsep Negara Berkebajikan yang mahu dibawa PAS
apabila mendakwa BN sudah lama melaksanakannya.
Sebagai menjawab
'sindiran' Datuk Seri Najib Razak sewaktu membentangkan Bajet 2012
Jumaat lalu, Presiden PAS itu menjelaskan, tiga asas utama Negara
Berkebajikan hampir tidak dilakukan kerajaan BN selama lebih 54 tahun
memerintah.
"Pertamanya, Negara Berkebajikan mestilah ditadbir
oleh pemerintah yang berintegriti atau beriman dan juga rakyat yang
berintegriti. Dengan membazirkan wang rakyat untuk membayar bil air dan
elektrik rumah Perdana Menteri berjumlah jutaan ringgit tidaklah
menggambarkan pemimpin yang berintegriti.
"Keduanya, Negara
Berkebajikan mestilah bercirikan kerajaan yang wajib memberi pertolongan
kepada rakyat yang memerlukan secara adil.
"Ketiga, negara
berkebajikan menekankan ciri kepimpinan yang beriman, berakhlak,
menepati janji dan adil untuk semua. Nampaknya Perdana Menteri yang
membentangkan belanjawan ini sebagai Menteri Kewangan gagal sama sekali
memahami apa yang dimaksudkan oleh PAS sebagai Negara Berkebajikan,"
katanya.
BN nafi hak
Tindakan kerajaan
terus menafikan royalti minyak di Kelantan dan Terengganu sejak
bertahun-tahun juga katanya, jelas menggambarkan ciri pengkhianatan dan
tidak menepati perjanjian, malah jauh sekali memenuhi ciri Negara
Berkebajikan.
Begitu juga dengan pemberian bantuan kepada rakyat
yang bersifat bermusim di kala kerajaan memerlukan undi rakyat dan
membiarkan rakyat tersepit dengan kenaikan harga barang dan petrol di
luar waktu pilihanraya.
Selain itu, manipulasi sistem
pilihanraya melalui undi pos, daftar pemilih yang kotor, penggunaan
jentera kerajaan dan memberi IC kepada warganegara asing untuk mengundi,
jelas satu tindakan tidak berintegriti dan tidak amanah serta menutup
pintu muhasabah oleh rakyat dalam pilihanraya.
"Ini hanya
beberapa contoh jelas bahawa BN jauh sekali menepati konsep Negara
Berkebajikan yang hendak dibawa oleh PAS," katanya lagi.
Sehubungan
itu beliau mahu rakyat menilai bahawa Negara Berkebajikan yang mahu
dibawa oleh PAS bersama Pakatan Rakyat jauh lebih besar dan luas
kerangkanya berbanding BN yang memfokus kepada pemberian subsidi
semata-mata.
Konsep Negara Berkebajikan PAS jelasnya meliputi hak
rakyat untuk dilayan secara adil, agihan ekonomi yang adil, hak
bepolitik secara bebas serta keperluan sosial yang wajib dipenuhi.
Lebih
penting, pemimpin dan rakyat yang berintegiti dan seterusnya membentuk
Malaysia yang sejahtera dalam semua aspek, bukan sekali-kali bersifat
pemberian habuan bersifat sementara di masa rakyat diperlukan
semata-mata.
No comments:
Post a Comment