Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini telah
menyerahkan memorandum bagi mendesak Kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat penyelewengan pengeluaran kad pengenalan di negara ini.
Memorandum tersebut diserahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz di bangunan Parlimen, dengan ditemani beberapa orang AJKnya termasuk
Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi dewan itu, Suhaizan Kaiat.
Penyerahan memorandum itu dilakukan menerusi Ahli Parlimen Kubang Kerian
yang juga Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sekitar jam 1.00 tengah hari.
Pada sidang media yang diadakan di lobi Parlimen, di sini, hari ini, Nasrudin
berkata, Dewan Pemuda PAS Malaysia mempunyai bukti yang jelas mengenai 240
orang warga asing yang dirancang oleh pihak tertentu untuk diberikan kad pengenalan
di Istana Dugang Country Resort di Kajang, Selangor pada 12 Oktober lalu.
Menurutnya, pihaknya turut mempunyai bukti terdapat 170,818 dalam
Daftar Pemilih Induk (DPI) suku kedua 2011 yang mempunyai kod negara "71".
Katanya, berdasarkan semakan yang dibuat oleh pihaknya terhadap
laman web JPN, tiada kod "71" disenaraikan sebagai kod rasminya.
"Oleh itu Pemuda PAS menganggap bahawa kod "71" adalah suatu
kod warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya," katanya.
42.23 peratus atau 72,742 pengundi yang tidak diketahui negara asal
kelahiran itu, jelasnya, adalah dari rumpun bangsa Cina iaitu Cina (71,252),
Hokkien (521), Teochew (375), Cantonese (292), Foochow (135), Hainanese (119),
Henghua (25) dan Hokchiu (23).
Katanya, 17.33 peratus atau 29,605 pengundi yang tidak diketahui
negara asal kelahiran itu adalah dari rumpun bangsa India iaitu India (24,663), India Muslim (2,399),
Punjabi (796), Sikh (639), Sri Lanka (346), Pakistan (328), Tamil (324), Tamil Sri Lanka (67),
Telegu (21), Malabari (12) dan Bangladesh (10).
"Pengundi daripada bangsa Indonesia yang tidak diketahui negara asal
kelahiran ini dipecahkan
kepada bangsa Indonesia (4,942), Bugis (1,356), Jawa (872),
Banjar (240) dan Boyan (58)," katanya.
Bagi pecahan mengikut negeri tempat mengundi pula, katanya,
Selangor (29,758), Johor (28,164), Wilayah Persekutuan (17,548), Perak (16,680), Kelantan (15,345),
Pulau Pinang (12,799), Sarawak (9,324), Sabah (8,590), Melaka (8,069), Negeri Sembilan (7,516),
Pahang (6,495), Kedah (5,793), Terengganu (3,313) dan Perlis (941).
"Ini bermakna negeri Pakatan Rakyat termasuk Perak dan Wilayah
Persekutuan mempunyai pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran seramai 57.32
peratus atau 97,923 orang, iaitu satu jumlah yang cukup besar yang mungkin boleh menumbangkan
kerajaan yang memerintah," katanya.
Pemuda PAS, katanya, telah membuat siri-siri pendedahan manipulasi
pilihanraya selama dua bulan kepada pihak media dan hasilnya didapati terdapat ribuan kes
kad pengenalan berkembar.
Menurutnya, pihaknya mempunyai bukti yang jelas mengenai perkara yang
dibangkitkan itu yang melambangkan kecelaruan kerja yang terdapat dalam JPN.
"Kelemahan ini mungkin telah diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk
memanipulasi data-data JPN," ujar beliau. |
No comments:
Post a Comment